27,000 kontraktor kelas F 'tidur' | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

KUALA LUMPUR 16 Dis. - Kementerian Kerja Raya mendapati kira-kira 27,000 kontraktor kelas F sedang ?tidur? atau tidak aktif mencari projek.

Menterinya, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, daripada 40,000 kontraktor Kelas F yang berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), pihaknya mendapati hanya 13,000 sahaja yang aktif.

Tambahnya, beliau mendapati kontraktor yang aktif itu berusaha keras untuk mendapatkan pelbagai projek.

"Yang lain (27,000 kontraktor) lagi sedang 'tidur' dan tidak aktif," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Samy Vellu hadir pada majlis Anugerah Kecemerlangan Industri Pembinaan Malaysia (MCIEA) 2007 anjuran CIDB di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, malam ini.

Pada majlis itu, Kumpulan Gamuda Bhd. (Gamuda) dan rakan kongsinya, MMC Corporation Berhad (MMC) berjaya membawa pulang Anugerah Persekitaran dan Anugerah Inovasi.

Dalam pada itu, Samy Vellu berharap majlis tersebut akan menjadi pendorong kepada para kontraktor untuk berusaha lebih keras bagi mendapatkan projek.

 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia