KOTA BHARU 26 Dis. - Jalan Kuala Krai-Gua Musang di Kilometer 55 dan 65 yang dibuka semula kepada semua kenderaan tengah hari semalam, kini ditutup kepada kenderaan berat.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan, Adnan Ibrahim berkata, langkah itu diambil berikutan berlaku pergerakan tanah apabila kenderaan berat melalui jalan berkenaan.
Berikutan itu, katanya, kenderaan berat ke Kula Lumpur atau sebaliknya perlu menggunakan jalan Kuala Terengganu-Kuantan.
Beliau berkata, satu lagi jalan alternatif adalah Jalan Raya Timur Barat melalui Jeli-Gerik-Ipoh.
"Bagaimanapun jalan tersebut selamat untuk kenderaan ringan dan kakitangan JKR memantau 24 jam kawasan terbabit,'' katanya di sini hari ini.
Jalan berkenaan ditutup kepada semua kenderaan sejak 16 Disember lalu, mula dibuka selorong kira-kira pukul 11 pagi semalam.
Jalan berkenaan dibina melibatkan pemotongan bukit bersebelahan jalan asal yang mendap serta runtuh dan kerja-kerja membina jalan berkenaan masih dijalankan.
Gua Musang sebelum ini terputus hubungan dengan kesemua jajahan di negeri ini setelah satu-satunya jalan alternatif iaitu Jalan Jeli-Dabong-Gua Musang ditutup berikutan tanah runtuh berdekatan Felda Meranto, Sabtu lalu.