'Baiki kerosakan di laluan maut' | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

PAGOH: Kerosakan permukaan jalan terutama di laluan maut di Lebuh Raya Timur Barat dan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) perlu dikesan lebih awal bagi memudahkan kerja membaikinya dilakukan segera sebelum berlaku lebih banyak kemalangan yang meragut nyawa pengguna jalan berkenaan. 

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S Samy Vellu, berkata arahan sudah dikeluarkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) supaya siasatan terperinci dijalankan terhadap semua kerosakan kecil yang dikesan berlaku di jalan berkenaan. 

Beliau berkata, kementerian menerima banyak aduan mengenai permukaan jalan berkenaan yang agak berbahaya sehingga banyak kawasan dikenal pasti terlalu menjejaskan pemanduan dan punca kemalangan. 

"Saya sudah mengarahkan Ketua Pengarah JKR (Datuk Dr Judin Abdul Karim) supaya menyiasat sepenuhnya tempat yang mendapat jolokan laluan maut itu yang menjejaskan pemanduan serta punca menyebabkan banyak tayar kenderaan pecah. 

"Janganlah tunggu apabila sudah rosak teruk baru nak bertindak...saya mahu tindakan segera diambil hasil siasatan awal yang dijalankan oleh pasukan khas atau "Flying Squad'," katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Wajah Baru Kawasan Rehat dan Rawat ( R&R) Pagoh Arah Selatan, di Kilometer 135.5, Lebuh Raya Utara Selatan, semalam. 

Samy Vellu berkata, Ketua Pengarah LLM, Datuk Mohamad Razali Othman sudah diarah supaya mengenal pasti punca sebenar masalah yang berlaku di laluan maut di Lebuh Raya Timur Barat dan LPT, sama ada reka bentuk atau cara pembinaan jalan membuatkan laluan berkenaan berbahaya. 

"Jika LLM tidak dapat mengesan, kita boleh membawa pakar dari luar yang berpengalaman luas dalam bidang ini untuk mencari punca masalah di LPT. 

"Saya sudah mengeluarkan arahan kepada Ketua Pengarah LLM dua minggu lalu untuk menjalankan siasatan menyeluruh di sepanjang lebih raya itu, bukan saja di lokasi kemalangan membabitkan Datuk Paduka Chew Mei Fun baru-baru ini," katanya. 

Ketika berucap pada majlis berkenaan, Samy Vellu, berkata Plus kini sedang berusaha menaik taraf perkhidmatan lebuh raya kendaliannya antaranya melebarkan jalan serta menaik taraf plaza tol, R&R serta hentian sebelah. 

Sebanyak sembilan R&R dan 15 hentian sebelah sepanjang Lebuh Raya Utara Selatan kini sedang dinaik taraf antaranya R&R Tapah, Seremban, Ulu Bernam, Gurun, Sungai Perak dan Bukit Gantang. 

 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian