RM500j baik pulih kemudahan rosak | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerjaraya sudah mula memperbaiki kerosakan infrastruktur yang serius akibat banjir dan semua jabatan di bawahnya dikerah menyegerakan pelaksanaan, terutama di Kedah, Kelantan, Johor serta Pahang, menggunakan peruntukan awal RM500 juta disediakan kerajaan. 

Menterinya, Datuk Seri S Samy Vellu, berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah melaksanakan kerja baik pulih yang kritikal sejak awal musim banjir lagi dan kini kerja membaiki kerosakan yang lebih besar boleh dilakukan berikutan banjir semakin surut. 

"Kita akan meminjamkan kakitangan JKR antara negeri bagi mempercepatkan kerja baik pulih dan keutamaan diberi terhadap infrastruktur seperti jalan dan jambatan supaya rangkaian perhubungan dipastikan tidak terputus. 

 

"Anggaran kerosakan keseluruhan belum dapat ditentukan, tetapi kerajaan sudah bersedia bagi melaksanakan semua kerja baik pulih. Saya akan kemukakan laporan lengkap kerugian muktamad kepada Kabinet dalam masa terdekat. 

"Kita juga memeriksa kawasan cerun di semua laluan utama dan kawasan penempatan bagi mengesan kemungkinan kelonggaran struktur tanah berikutan banjir," katanya ketika dihubungi semalam. 

Bagaimanapun, Samy Vellu menegaskan peruntukan RM500 juta diluluskan Kabinet minggu lalu itu perlu dikongsi dengan kementerian lain dan hanya untuk kerja baik pulih kritikal saja yang dikenal pasti sejak 14 Disember lalu hingga kini. 

Katanya, setiap kementerian juga diarah mengemukakan laporan awal nilai kerosakan dan kerugian akibat banjir bagi lima negeri untuk diserahkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) minggu depan. 

Dalam perkembangan berkaitan, JKR turut mengarahkan 30 pakar kajian cerun tempatan memeriksa lebih 7,200 cerun, termasuk 1,200 yang dikategorikan sebagai cerun berbahaya di semua lebuh raya dan jalan raya. 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian