IPOH 26 Dis- Polis hari ini meminta syarikat telekomunikasi (Telco) memperluaskan liputan komunikasi di sepanjang Lebuh Raya Timur-Barat dari Gerik ke Jeli bagi membolehkan penyaluran segera bantuan kecemasan.
Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, sistem telekomunikasi yang tidak berkesan menyebabkan pihak berkaitan gagal dihubungi bagi memohon sebarang bantuan kecemasan.
"Jika berlaku kemalangan jalan raya, bantuan kecemasan patut diberi segera. Kalau tiada talian telefon, bagaimana orang ramai hendak hubungi polis dan bomba," katanya mengulas nahas mengorbankan enam sekeluarga dalam satu kemalangan ngeri di laluan itu kelmarin.
Katanya, ketiadaan sistem telekomunikasi menyebabkan pihak polis lambat tiba memberikan pertolongan dan bantuan kecemasan walaupun kereta peronda sentiasa digerakkan di laluan berkenaan.
"Kita akan kekalkan rondaan di kawasan itu bagi meningkatkan tahap waspada di kalangan pengguna jalan raya," katanya.