Plus jangka empat juta kenderaan guna lebuh raya | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

KUALA LUMPUR: Plus Expressways Berhad (Plus) menjangkakan empat juta kenderaan akan menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan sepanjang perayaan Tahun Baru Cina ini dengan hari puncak bermula hari ini, esok diikuti 10 Februari. 

Mulai hari ini, dijangka lebih 1.3 juta kenderaan menggunakan lebuh raya itu setiap hari berbanding 1.2 juta kenderaan ketika Aidilfitri lalu, manakala bagi perjalanan pulang selepas perayaan iaitu 10 dan 11 Februari pula dijangkakan kesesakan akan berlaku secara berperingkat. 

Berikutan itu, Pengarah Urusan Plus, Noorizah Abd Hamid, menasihatkan pengguna lebuh raya itu menggunakan jadual perjalanan yang dikeluarkan Plus sempena Tahun Baru Cina bagi perjalanan selesa dan mengelakkan daripada terperangkap dalam kesesakan. 

"Plus sudah bersedia menerima jumlah trafik yang akan meningkat mendadak mulai hari ini. Kita menambah 60 peratus lagi kakitangan Plus di sepanjang lebuh raya dengan semua lorong sedia ada termasuk 33 peratus lorong tambahan dibuka, manakala 349 kakitangan serta 329 anggota Ikatan Relawan Malaysia (Rela) akan dikerah membantu pengurusan trafik di plaza tol, kawasan rehat dan rawat (R&R) serta hentian sebelah. 

"Berbanding Aidilfitri, pengguna yang menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan ketika Tahun Baru Cina meningkat ketara setiap tahun. Oleh itu pengguna dinasihatkan mematuhi had laju dan menggunakan jadual perjalanan yang dikeluarkan. 

"Jadual perjalanan berperingkat yang pertama kali diperkenalkan ketika cuti sambutan Hari Kemerdekaan yang lalu didapati berjaya mengurangkan 60 peratus kesesakan dan jumlah kemalangan di lebuh raya itu turut dikurangkan," katanya pada sidang media persiapan Plus menyambut Tahun Baru Cina di sini, semalam. 

Noorizah berkata, bagi melancarkan trafik ke arah Utara di antara Tanjung Malim dan Slim River, laluan tambahan satu lorong akan disediakan menerusi laluan kontra yang dibuka antara kilometer (KM) 392.8 hingga KM 378.5. 

"Laluan kontra itu akan bermula jam 10 pagi hari ini (tertakluk kepada keadaan trafik) dan akan ditutup jam 11.59 malam pada 7 Februari bagi membolehkan laluan tiga lorong sedia ada digunakan untuk perjalanan ke Selatan ketika orang ramai pulang semula ke Lembah Klang. 

"Bagi perjalanan ke Selatan pula, semua laluan tiga lorong (kedua-dua arah) di antara Seremban dan Ayer Keroh sudah dibuka pada pengguna manakala bagi laluan tiga lorong dari Slim River ke Rawang (kedua-dua arah) juga akan dibuka kepada lalu lintas menjelang perayaan itu," katanya. 

Beliau berkata, Plus juga menawarkan perkhidmatan maklumat trafik melalui SMS iaitu Plus Mobile Alert (PlusMA) dengan setiap SMS dikenakan caj 30 sen sepanjang musim perayaan ini. Menerusi perkhidmatan itu, maklumat terkini trafik akan disalurkan kepada pengguna lebuh raya pada 6, 7, 9, 10 dan 11 Februari ini. 

"Orang ramai boleh menaip ON (jarak) KLIP, IPKL, IPNO, NOIP, KLAK, AKKL, AKSO atau SOAK dan hantar kepada 33626. KLIP merujuk perjalanan KL - Ipoh, IPKL (Ipoh - KL), IPNO (Ipoh - Utara), NOIP (Utara - Ipoh), KLAK (KL - Ayer Keroh), AKKL (Ayer Keroh - KL), AKSO (Ayer Keroh - Selatan) dan SOAK (Selatan - Ayer Keroh)," katanya. 

Noorizah berkata, Plus juga mengadakan kerjasama dengan Radio 24 (93.9 FM) dan AMP Radio Networks akan menyalurkan maklumat aliran trafik terkini menerusi radio Era, My FM, Hitz.fm, Mix fm, LiteFM, Sinar, Xfresh, THR Raaga dan THR Gegar. 

"Orang ramai juga boleh menghubungi Plus melalui talian bebas tol PlusLine di 1800-88-0000 bagi mendapatkan maklumat berhubung jadual waktu perjalanan, laluan kontra antara Tanjung Malim dan Slim River, maklumat trafik terkini atau sebarang bantuan lain," katanya. 

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian