Abdul Munit KSU Kerja Raya | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

KUALA LUMPUR:Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Kementerian Kerja Raya, Datuk Dr Abdul Munit Kasmin dilantik Ketua Setiausaha kementerian itu mulai Ahad ini,Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan mengumumunkan dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau menggantikan Datuk Syed Jamal Syed Jaafar yang bersara wajib pada tarikh berkenaan.

Mohd Sidek berkata, Abdul Munit 55, yang memulakan karier dalam perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD) pada 9 Oktober 1976, berpengalaman luas dalam bidang  pembangunan dan pengurusan ekonomi di peringkat persekutuan dan negeri.

Sebelum dilantik Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Kerja Raya pada 1 Jun 2006, beliau memegang jawatan Timbalan Setiausaha kerajaan Negeri Selangor selain pernah menjadi  Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Selangor dan Timbalan Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri Pahang.

Mohd Sidek turut mengumumkan perlantikan Setiausaha Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Puan Sri Zaiton Mhad Ali sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Kerja Raya mulai 2 Februari ini.

Zaiton, 53, yang berpengalaman dalam bidang pengurusan sumber manusia mengantikan Datuk Asiah Marzuki yang bersara wajib pada tarikh itu.

Pengarah  Bahagian Latihan , Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Lamien Sawiyo pula dilantik menggantikan Zaiton sebagai setiausaha Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, juga mulai 2 Februari.

Lamien, 52 yang menyertai PTD pada 5 januari  1981, berpengalaman luas dalam bidang pengurusan sumber manusia dan pentadbiran awam.

Pengarah Bahagian Sumber Manusia dan Khidmat pengurusan JPA, Datin Madinah Mohamad, 51, menggantikan Lamien, juga mulai 2 Februari. 

 

Tarikh
Surat Khabar
Harian Metro