Pembinaan Jambatan kedua PP tidak ditangguh | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

PULAU PINANG: Kerja-kerja pembinaan jambatan kedua yang bernilai RM 3 bilion tidak ditangguhkan, sebaliknya ia hanya terlewat beberapa  bulan sahaja.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Koh Tsu Koon berkata, jambatan kedua yang menghubungkan Batu Kawan dan Batu Maung di sini, tetap berjalan seperti biasa Cuma perkembanganya agak perlahan berikutan timbul beberpa masalah yang melibatkan kira-kira 1,500 nelayan ,perternak ikan dan kerang.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan medan selera New World Park di sini hari ini.

Hari ini,akhbar melaporkan kerja-kerja di jambatan kedua itu terhenti baru-baru ini, untuk memberi ruang kepada kerajaan negeri mengatasi masalah yang timbul di kawasan itu.

Tsu Koon berkata, kerajaan negeri masih memberi perhatian untuk menyelesaikan masalah yang timbul bagi mengelakkan berlakunya kesan negetif terhadap hidupan laut sekitar kawasan pembinaan itu.

Bagaimanapun, katanya kerajaan negeri tetap akan memastikan pembinaan jambatan itu siap seperti yang dijadualkan pada tahun 2010.

Jambatan sepanjang 24 kilometer itu yang menghubungkan Batu Kawan di  Seberang Perai Selatan dan Batu Maung di kawasan Barat Daya Pulau Pinang membabitkan kos sebanyak RM 3 bilion.

Sebanyak 68 hektar tanah telah dibersihkan untuk dijadikan jajaran jambatan tersebut sementara tiang yang dibina mampu menghadapi bencana alam seperti gempa bumi atau tsunami pada kekuatan tujuh pada skala Richter.

Jambatan tersebut dijangka dapat menampung sebanyak 88,880 buah kenderaan sehari apabila siap nanti. 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia