KUALA LUMPUR 16 Jan. - Pengguna Lebuh Raya KL-Putrajaya kini perlu membayar tol di antara RM1.50 dan RM7.50 berkuat kuasa tengah malam ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu dalam satu kenyataan berkata, kadar tol tersebut telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri yang bermesyuarat hari ini.
Lebuh raya sepanjang 26 kilometer yang mula dibina pada 2004 itu dibuka secara percuma untuk laluan kenderaan sejak 13 Disember lalu.
Secara keseluruhannya lebuh raya itu mempunyai lima persimpangan bertingkat dan dua plaza tol.
Lima persimpangan itu ialah persimpangan bertingkat Kampung Pandan, Salak Selatan, Kuchai Lama, Bukit Jalil dan Putrajaya.
Dua plaza tol itu ialah Plaza Tol Salak Selatan dan Plaza Tol Putrajaya.
Kadar kelajuan di lebuh raya berkenaan telah ditetapkan antara 60 hingga 90 kilometer sejam.
Pengguna hanya perlu mengambil masa antara 15 hingga 20 minit untuk ke Putrajaya dari Kuala Lumpur jika menggunakan lebuh raya berkenaan.