KUALA LUMPUR: Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) mengesahkan tiada kenaikan tol dijadualkan bagi mana-mana lebuh raya sepanjang tahun ini, termasuk Jambatan Pulau Pinang, selaras dengan keputusan kerajaan pada 30 November tahun lalu.
Dalam satu kenyataan semalam, LLM berkata, kerajaan menetapkan hanya lebuh raya yang kurang sibuk dan tidak mempunyai aliran trafik yang banyak akan mengalami kenaikan kadar tol berkuat kuasa 1 Januari tahun ini.
"Sehubungan itu, tol laluan utama seperti Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus), Jambatan Pulau Pinang, Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Hulu Klang (Prolintas), Damansara Link dan Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint)-Kerinchi tidak dinaikkan untuk sekurang-kurangnya setahun.
"Keputusan tidak menaikkan tol, seperti termaktub dalam perjanjian konsesi, bermakna kerajaan terpaksa membayar pampasan RM242 juta kepada keempat-empat syarikat konsesi berkenaan," katanya.
Kelmarin, calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Jerejak di Pulau Pinang, Sim Tze Tzin mendakwa tol Jambatan Pulau Pinang yang kini ditetapkan pada RM7 akan dinaikkan sehingga RM9.40 selepas pilihan raya umum ini.
Difahamkan, kadar itu menyamai anggaran tol untuk Jambatan Pulau Pinang Kedua yang kini dalam pembinaan. Kadar kenaikan purata tol Jambatan Pulau Pinang ialah dua peratus setahun dan semakan tol dibuat lima tahun sekali sehingga mencapai kadar maksimum RM11.50 pada 2051.
Sim mendakwa mempunyai bukti berbentuk surat bertarikh Ogos 2007 antara Ketua Pegawai Eksekutif United Engineers (Malaysia) Berhad (UEM), Datuk Ahmad Pardas Senin kepada Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri, Dr Sulaiman Mahbob, mengenai kenaikan tol itu.
LLM menjelaskan permohonan kenaikan tol amalan biasa di kalangan syarikat konsesi berdasarkan keadaan ekonomi semasa, tetapi tidak semua perlu dipertimbangkan kerajaan.
Setiap permohonan dinilai berdasarkan kesesuaian, alasan diberi dan kadar trafik menggunakan laluan terbabit.
Selain LLM, Jabatan Kerja Raya, EPU dan Jabatan Kewangan perlu membuat penilaian berasingan sebelum semua laporan terbabit dikemukakan kepada Kabinet.
Justeru, surat daripada syarikat konsesi kepada mana-mana agensi kerajaan tertentu tidak boleh ditakrifkan sebagai petanda tol akan naik kerana keputusan mengenainya hanya boleh dilakukan dalam mesyuarat jemaah menteri.