WPI jadi jaringan pikat pelabur | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

JOHOR BAHRU: Pembinaan Jambatan Kedua Permas Jaya dan jalan ke Pasir Gudang yang akan memudahkan jaringan perhubungan ke Pasir Gudang, bakal merancakkan kedatangan pelaburan ke Johor menerusi Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI). 

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S Samy Vellu, berkata projek bernilai RM175 juta dan dijangka siap dalam tempoh 36 bulan, akan menjadi pemangkin kepada kemudahan infrastruktur serta memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya dan pembangunan sekitar Permas Jaya ke Pasir Gudang. 

Katanya, laluan projek itu bermula dari persimpangan Jalan Bakar Batu di Kem Majidee/persimpangan Lingkaran Penyuraian Trafik Timur ke Lebuhraya Pasir Gudang meliputi kawasan Perindustrian Pasir Gudang. 

"Jalan baru sepanjang 13.1 kilometer (km) dan jambatan kedua 700 meter itu dilengkapi dengan persimpangan bertingkat yang akan melancarkan perjalanan lalu lintas serta menjadi laluan alternatif dari pusat bandar ke Pasir Gudang," katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis pecah tanah Membina Jalan Ke Pasir Gudang dan Jambatan Kedua Permas Jaya yang merentangi Sungai Tebrau dan Sungai Plentong, di sini, semalam. 

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ahli Dewan Undangan Negeri Permas, Datuk K S Balakrishnan. 

Pembinaan kemudahan itu merangkumi persimpangan bertingkat di Jalan Johor Bahru - Pasir Gudang dan satu lagi di Permas Jaya, pelebaran jalan kepada empat lorong dua hala sepanjang 4.5 km dan pembinaan tiga jambatan di Sungai Lunchoo, Sungai Rekoh dan Sungai Masai. 

Samy Vellu berkata, jalan baru itu akan menjadi laluan alternatif yang menjimatkan masa selama setengah jam berbanding laluan sedia ada dari Permas Jaya - Pasir Gudang. 

"Pembinaan itu akan merangsang pertumbuhan sosio ekonomi Johor kerana laluan itu akan menjadi pelengkap kepada sistem perhubungan darat di WPI," katanya. 

Abdul Ghani berkata, pelaksanaan pembinaan itu akan memberi banyak manfaat kepada negeri ini terutama penduduk setempat yang selama ini terpaksa mengharungi laluan Lebuhraya Pasir Gudang yang sesak. 

Sementara itu, katanya, kerajaan persekutuan memperuntukkan RM1.87 bilion dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) membabitkan sembilan projek di Johor. 

Beliau berkata, ini termasuk dua yang sedang dilaksanakan iaitu membina pembahagi jalan dan pusingan U di Laluan 50 Batu Pahat - Air Hitam - Kluang serta membina jalan masuk ke Pusat Pentadbiran Baru Kerajaan Johor di Nusajaya, yang dijangka siap pertengahan 2009. 

Selain itu, katanya, enam projek baru membabitkan pembinaan Medium Term Link (MTL) menghubungkan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) Bukit Chagar terus ke Tambak Johor dan menaik taraf Jalan Ulu Tiram - Kota Tinggi. 

Membina dua persimpangan bertingkat dan naik taraf Jalan Tampoi kepada empat lorong; persimpangan bertingkat Senai menuju Lapangan Terbang Senai dan naik taraf Persimpangan Perling. 

Sementara itu, Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) Bukti Chagar, di sini, bernilai RM1.1 bilion akan dibuka untuk kenderaan ringan apabila laluan sementara menghubungkannya dengan Tambak Johor, siap Mei ini. 

Menteri Kerjaraya, berkata semua agensi dan jabatan kerajaan yang berkaitan sudah mula berpindah ke KIK secara berperingkat bagi membuat persediaan operasi. 

Katanya, sebanyak 17 agensi dan jabatan kerajaan akan beroperasi di KIK baru itu selain kakitangan Jabatan Imigresen dan Kastam Diraja Malaysia. 

"Laluan sementara itu akan siap sepenuhnya tiga bulan lagi dan pembinaannya itu lebih cepat daripada tempoh yang ditetapkan. Jadi, laluan kenderaan ringan keluar masuk ke Singapura akan dibuka di KIK menggantikan Tambak Johor," katanya. 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian