KUALA LUMPUR: Kita biasa mendengar penganjuran ekspedisi mencari harta karun tetapi pernahkah anda dengar tentang ekspedisi pemantauan jalan?
Semalam, seramai 80 warga Kementerian Kerja raya dengan 20 kereta menyertai satu Ekspedisi Pemantauan Jalan Persekutuan 2008 dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru.
Menurut jurucakap kementerian, antara masalah yang akan dikenal pasti ialah jalan-jalan berlubang di sepanjang ekspedisi tersebut selain memastikan sistem perparitan di lebuh raya berfungsi dengan baik.
Dalam ekspedisi yang julung kali diadakan itu, setiap peserta juga memantau kerja berkala atau kecemasan antaranya sistem pengurusan trafik berfungsi dengan baik sekiranya belaku kecemasan.
Dalam misi sehari itu, setiap peserta ekspedisi ditugaskan memantau papan tanda mengelirukan pengguna jalan raya serta melakukan pemantauan lain yang dirasakan perlu.
Acara pelepasan ekspedisi tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Dr. Abdul Munit Kasmin pada pukul 8.05 pagi di perkarangan Kompleks Kerjaraya di sini semalam.
Untuk tujuan itu, peserta dibahagikan kepada dua kumpulan menuju ke jalan persekutuan di zon selatan dengan bermula di Tol Sungai Besi sebelum setiap kumpulan melalui arah yang berlainan dan akan berkumpul semula di Johor Bahru
Kumpulan pertama akan melalui jalan-jalan yang telah ditetapkan antarnya Beranang, Seremban, Rambau, Tampin dan Gemas, manakala kumpulan kedua pula antaranya akan melalaui Tangkak, Muar, Batu Pahat dan Pontian.
Ekspedisi yang disertai sebanyak 20 buah kenderaan itu dijangka mengambil masa kira-kira lapan jam sebelum tiba ke destinasi terakhir iaitu di Johor Bahru.