Kontraktor kelas F dapat 10% projek RM10 juta ke atas | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

KUALA LUMPUR 16 April - Sebanyak 10 peratus daripada semua projek berharga melebihi RM10 juta yang dilaksanakan oleh Kementerian Kerja Raya akan diagihkan kepada kontraktor Kelas F.

Menterinya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, kira-kira 17,000 kontraktor kelas F yang aktif di seluruh negara akan mendapat manfaat daripada dasar tersebut.

Langkah itu, katanya, adalah sejajar dengan dasar komprehensif kementerian bagi memastikan kontraktor aktif mendapat kerja di bawah pelaksanaan projek mega Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Tambahnya, sebelum ini, kontraktor kelas F hanya berpeluang mendapat kerja yang mana harga sesuatu projek itu bernilai di bawah RM200,000.

''Berkuat kuasa mulai sekarang, kontraktor kelas F berpeluang mendapat agihan 10 peratus daripada semua kontrak di bawah pelaksanaan kementerian yang berharga RM10 juta ke atas,'' katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Menurut Mohd. Zin, kerajaan sedar rungutan di kalangan kontraktor kelas F tentang kesukaran mendapat projek sejak kebelakangan ini.

''Langkah ini akan mewujudkan peluang kerja yang lebih banyak bagi golongan terbabit dan merealisasikan dasar perkongsian serta penglibatan mereka secara langsung dalam RMK-9.

''Inisiatif ini juga adalah sebahagian daripada usaha kerajaan memperkembangkan kemampuan kontraktor kelas F,'' ujarnya.

Tambahnya, kementerian berharap melalui konsep itu, akan lahir kontraktor-kontraktor yang mahir melakukan kerja dalam pelbagai bidang berdasarkan pengkhususan masing-masing.

''Adalah diharapkan dalam proses ini juga, mereka dapat membantu negara melahirkan pekerja mahir dalam pelbagai bidang pengkhususan seperti penampalan, pendawaian dan pemasangan paip,'' tambahnya.

Sementara itu, beliau berkata, kementerian kini dalam peringkat mengeluarkan 24 bilangan surat 'Setuju Terima' yang melibatkan projek bernilai RM2.2 bilion.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM220 juta akan diperuntukkan kepada kontraktor kelas F.

Tambahnya, agihan kerja itu kemudian akan dinikmati oleh kira-kira 1,000 syarikat kontraktor kelas F.

Mohd. Zin berkata, jumlah keseluruhannya yang telah diproses adalah 12 kontraktor utama membabitkan harga kontrak berjumlah RM1.3 bilion.

''Daripada jumlah ini, seramai 572 kontraktor kelas F akan ditawar kerja oleh kontraktor utama membabitkan kontrak bernilai RM131 juta.

''Selebihnya akan dilulus kemudian yang turut membabitkan kontraktor kelas F di semua negeri,'' katanya.

Menurut beliau, daripada kontrak bernilai RM131 juta yang diagihkan kepada kontraktor kelas F itu, RM70.6 juta adalah di negeri Terengganu.

''Sabah (RM37 juta), Selangor (RM12.3 juta), Negeri Sembilan (RM5.23 juta), Kuala Lumpur (RM4.02 juta), Kelantan (RM2.04 juta) dan Perak RM1.9 juta),'' kata beliau.

Jelas beliau, kementerian akan turut memantau pembayaran kepada kontraktor kelas F oleh kontraktor utama melalui satu mekanisme yang diwujudkan.

''Kami akan turut sentiasa memantau pelaksanaan kerja kontraktor kelas F bagi memastikan mutu kerja mereka tidak menjejaskan prestasi kerja kontraktor utama dan projek keseluruhannya,'' kata Mohd. Zin.

Katanya, langkah itu secara tidak langsung akan mewujudkan sektor pembinaan yang lebih cekap dan efisien serta melahirkan pekerja mahir tempatan. 

Dalam pada itu, Mohd. Zin berkata, kementerian bercadang mewujudkan satu sistem penanda aras kemahiran pekerja mahir dalam sektor pembinaan.

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia