KUALA LUMPUR 15 April - Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Kuala Lumpur (PerkobF KL) mencadangkan had maksimum melaksanakan projek ditingkatkan daripada RM200,000 kepada RM300,000 ekoran kesukaran hampir 40,000 kontraktor kelas F mendapatkan projek pembinaan.
Yang Dipertuanya, Ahmad Awang berkata, peningkatan harga bahan binaan menyebabkan 'saiz' projek dibenarkan untuk kontraktor kelas berkenaan sebenarnya menyusut.
''Keadaan bertambah rumit apabila jumlah projek adalah terhad dan bilangan kontraktor F di seluruh negara pula semakin bertambah.
''Ini menyebabkan persaingan mendapatkan projek bertambah sengit,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sehubungan itu, Ahmad berkata, pihaknya berharap kerajaan dapat melaksanakan cadangan itu dan memperbanyakkan projek pembinaan.
''Sistem undi yang diamalkan sekarang untuk memilih kontraktor adalah adil dan telus tetapi projek tidak mencukupi.
''Misalnya, dalam satu pembidaan, lebih 600 kontraktor memohon untuk mendapatkan 40 projek yang ditawarkan oleh jabatan kerajaan,'' katanya
Sementara itu, Ahmad menyeru ahli-ahlinya mengikuti kursus kemahiran kelolaan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) bagi melayakkan mereka mendapatkan projek landskap, pembetungan dan kepakaran lain.
Katanya, ini berikutan langkah kerajaan memperuntukkan 10 peratus daripada kerja-kerja projek besar untuk diberikan kepada kontraktor kelas F.
''Kontraktor kelas F hakikatnya mampu melakukan kerja-kerja dengan teliti dan berkualiti berbanding subkontraktor warga asing kerana kepakaran mereka tertumpu pada kerja-kerja berskala kecil,'' katanya.
Dalam perkembangan lain, Ahmad mencadangkan hanya kontraktor kelas F yang berdaftar dibenarkan melakukan pembaikpulihan di taman perumahan.
Menurutnya, langkah tersebut memastikan ahli-ahlinya berpeluang mendapat kerja-kerja tersebut yang dibolot kontraktor tidak berdaftar.
Katanya, penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Majlis Perbandaran perlu mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor tidak berlesen.