Keluasan bumbung tidak ikut spesifikasi antara punca | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

MARANG: Keluasan bumbung yang tidak mengikut spesifikasi, struktur tanah tidak mampat serta kecuaian kontraktor membina dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wakaf Tapai, di sini tanpa mengambil kira faktor alam semula jadi dikenal pasti antara punca menyebabkan keseluruhan bumbung dewan besar sekolah itu runtuh tiba-tiba kira-kira jam 8.30 malam, Jumaat lalu. 

Ketua Penolong Setiausaha (Teknikal) Bahagian Pembangunan Kementerian Pelajaran, Samimi Omar, berkata siasatan pihaknya mendapati kontraktor dari Syarikat Yusuf Yassin Sdn Bhd yang terbabit membina dewan dan bangunan sekolah itu sebelum tanah yang menimbus kawasan paya dan sawah di situ mampat serta selamat untuk mendirikan bangunan. 

Beliau berkata, sekolah berkenaan yang baru dibuka pada 2005 juga belum memiliki sijil layak menduduki (CF), sebaliknya hanya diberi sijil menduduki sementara berikutan keadaan terdesak memerlukan sekolah itu beroperasi untuk menampung keperluan pendidikan di negeri ini. 

"Melihatkan keadaan runtuhan bumbung dewan ini, siasatan kita mendapati bumbung yang dibina melebihi had keluasan apabila kontraktor menggunakan bumbung seluas 18 meter, sedangkan saiz sepatutnya ialah 12 meter. Jadi sistem bumbung ini tidak dapat menampung jubin lantai di bahagian bawah dewan ini. 

"Selain itu, kontraktor juga membina bangunan sebelum tanah ditimbus di kawasan yang pada asalnya tanah paya dan sawah ini kering. Ia menyebabkan air dalam tanah mengalir ke alur sungai di belakang dewan terbabit sehingga mengakibatkan rekahan pada dinding dewan. 

"Kementerian juga mengakui sekolah ini belum menerima CF sehingga kini. Bagaimanapun, kontraktor bertanggungjawab membina sekolah dan dewan ini perlu membuat permohonan semula untuk mendapatkan CF," katanya selepas memberi penerangan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman, di sini, semalam. 

Samimi berkata, kontraktor terbabit juga tidak mengambil kira faktor keadaan angin sebelum membina dewan berkenaan menyebabkan kekuda sendi bumbung itu runtuh serentak mengikut arah angin. 

Beliau berkata, kontraktor terbabit diberi seminggu untuk mengenal pasti masalah dan kerosakan lain, selain tempoh sebulan untuk memeriksa dewan dan sekolah lain yang menggunakan konsep binaan sama. 

 

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian