Skip to main content

MINGGU PEMBINAAN ANTARABANGSA (ICW 2012)

Image removed.Kuala Lumpur, 14 Februari – Kementerian Kerja Raya menerusi agensinya Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) telah menganjurkan program Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW 2012). Program yang berlangsung selama 3 hari itu bermula dari 14 hingga 16 Februari 2012 bertempat di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) telah dirasmikan oleh Y.A.B Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Program ini bertindak sebagai wadah pertemuan dan saluran komunikasi penggiat industri pembinaan tempatan dan luar negara melibatkan kumpulan Profesional, Jurutera, Arkitek, Para Akademik, Kontraktor, Penyelidik, Syarikat Perunding serta Pembekal dari dalam dan luar negara.

Dalam ucapan perasmian Y.A.B Perdana Menteri, beliau membuat pengumuman, penggunaan teknologi IBS akan diperluas ke kawasan luar bandar di mana gelombang pertama akan membabitkan 25 buah sekolah di Sabah dan 9 buah sekolah di Sarawak. Pembinaan bangunan kerajaan lain seperti hospital dan balai polis di luar bandar dan bandar juga boleh diperluas dengan menggunakan kaedah ini. Menurut beliau lagi, penggunaan teknologi IBS ini dapat mengurangkan pembaziran melalui sistem pasang siap dengan suhu bangunan akan menjadi lebih rendah yang secara tidak langsung dapat menjimatkan tenaga di samping lebih mesra alam. Ia juga mampu mengekalkan kualiti dan tahan lama serta lebih menjamin tahap keselamatan sesebuah bangunan kerana kaedah ini menggabungkan kepakaran teknologi tempatan dan luar negara.

Turut hadir bersama pada majlis perasmian adalah Y.B Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Shaziman Abu Mansor, Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Y.Bhg. Datuk Ir. Hamzah Hassan serta pegawai-pegawai kanan Kementerian dan Agensi.

 

|Galeri Foto|

Tarikh Dan Waktu Acara
Sumber
UKK