MAJLIS GRADUASI AKADEMI BINAAN MALAYSIA (ABM) DAN CIDB TECHNOLOGIES SEMENANJUNG 2026 | Kementerian Kerja Raya Skip to main content
0

MAJLIS GRADUASI AKADEMI BINAAN MALAYSIA (ABM) DAN CIDB TECHNOLOGIES SEMENANJUNG 2026

Submitted by wmukk on 25 November 2026

BANGI – Kementerian Kerja Raya (KKR) terus komited memperkukuh pembangunan modal insan dan melahirkan tenaga kerja mahir serta kompeten bagi memenuhi keperluan industri pembinaan negara menerusi penganjuran Majlis Graduasi Akademi Binaan Malaysia (ABM) dan CIDB Technologies Semenanjung 2026.

Majlis tersebut akan disempurnakan oleh YB Datuk Seri Dr. Haji Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya, bertempat di Bangi Avenue Convention Centre (BACC), Selangor.  Mengulas potensi bakat tempatan di peringkat antarabangsa, YB Datuk Seri Dr Ahmad Maslan turut menyentuh kejayaan kontinjen Malaysia dalam WorldSkills Competition Shanghai 2026, yang berjaya meraih satu pingat gangsa dan 13 Pingat Kecemerlangan (Medal for Excellence), sekali gus membuktikan keupayaan anak muda negara untuk bersaing di pentas dunia.

Seramai 600 graduan Akademi Binaan Malaysia (ABM) dan CIDB Technologies Semenanjung diraikan pada Majlis Graduasi Ke-12 Akademi Binaan Malaysia dan CIDB Technologies Semenanjung Tahun 2026, selepas berjaya menamatkan latihan dan memperoleh Sijil Kompetensi Kemahiran Pembinaan (SKKP) dalam pelbagai bidang teknikal industri pembinaan.

Penganjuran majlis ini merupakan platform untuk mengiktiraf pencapaian para pelatih yang telah berjaya menamatkan latihan kemahiran dalam bidang pembinaan, selain menghargai sumbangan tenaga pengajar serta rakan strategik yang menyokong pembangunan modal insan industri.

Antara pengisian utama majlis termasuk penyampaian Anugerah Pelatih Cemerlang, Anugerah Ikon TVET Pembinaan dan sijil penghargaan kepada rakan strategik.

KKR berharap pengiktirafan ini dapat menjadi pemangkin kepada para graduan untuk terus meningkatkan kemahiran, memperkukuh profesionalisme dan menyumbang kepada pembangunan industri pembinaan yang lebih berdaya saing.

Pembangunan tenaga kerja mahir melalui latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) merupakan antara agenda penting KKR dalam memastikan industri pembinaan negara terus berkembang dengan tenaga kerja yang berkualiti, produktif dan memenuhi keperluan semasa.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4
5
6
7