RANCANG PEMASANGAN LAMPU JALAN SOLAR DI LOKASI HOTSPOT LALUAN FT29 DAN FT30 PADA 2027 | Kementerian Kerja Raya Skip to main content
0

RANCANG PEMASANGAN LAMPU JALAN SOLAR DI LOKASI HOTSPOT LALUAN FT29 DAN FT30 PADA 2027

Submitted by wmukk on 24 November 2026

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan, hari ini hadir ke persidangan Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia bagi menjawab pertanyaan lisan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Putrajaya berhubung status terkini penyelenggaraan lampu dan garisan jalan di laluan Persekutuan FT29 dan FT30 sekitar sempadan Putrajaya.

Dalam jawapan beliau di Dewan Rakyat, YB Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan memaklumkan bahawa Kementerian Kerja Raya (KKR) sentiasa komited memastikan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya berada pada tahap optimum melalui pemantauan serta kerja-kerja penyelenggaraan berkala di kedua-dua laluan berkenaan.

Bagi menangani isu kecurian kabel lampu jalan yang sering menjejaskan pencahayaan di laluan tersebut, beliau menjelaskan bahawa kementerian merancang untuk melaksanakan pemasangan sistem lampu jalan berasaskan tenaga solar secara bersasar, khususnya di lokasi-lokasi panas (hotspot) yang kerap berlaku kejadian kecurian kabel. Pelaksanaan inisiatif ini dirancang untuk direalisasikan melalui penyaluran peruntukan khas pada tahun 2027.

Selain menjawab pertanyaan utama, YB Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan turut menjawab beberapa soalan tambahan yang diajukan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat berhubung mekanisme pemantauan aset jalan raya, langkah pencegahan vandalisme infrastruktur awam, serta keutamaan penyaluran peruntukan penyelenggaraan di kawasan berisiko tinggi.

Kementerian Kerja Raya akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan serta agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4