KKR TERUS PERKUKUH KESELAMATAN JALAN RAYA MENERUSI PROGRAM CAKNA MADANI: NAIK TARAF INFRASTRUKTUR DAN TEKNOLOGI PINTAR
KUALA LANGAT – Menteri Kerja Raya, YB Dato' Sri Alexander Nanta Linggi hari ini menyempurnakan Majlis Penghargaan Siap Kerja Program Cakna MADANI: Program Menaiktaraf Infrastruktur Keselamatan Jalan Raya bertempat di sini.
Berteraskan aspirasi "cepat siap, cepat manfaat", program berimpak tinggi yang memfokuskan projek berskala kecil dan sederhana ini merangkumi tiga (3) inisiatif utama keselamatan jalan raya:
Program Memperelok Lokasi Kerap Berlaku Kemalangan (Blackspot) Fasa 2: Berpandukan analisis data Road Accident Management System (RAMS), sebanyak 441 lokasi berisiko tinggi telah dirawat antara tahun 2021 hingga 2026 dengan peruntukan berjumlah RM153.1 juta.
Lintasan Pejalan Kaki Searas Berlampu Isyarat (LPKSI): Sebanyak 172 lokasi telah dilengkapi kemudahan lintasan selamat sejak diperkenalkan pada tahun 2018 hingga 2026 melibatkan kos keseluruhan RM45.8 juta.
Pemasangan Speed Sign Sensor (SSS): Memanfaatkan teknologi pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI), radar, dan Internet of Things (IoT) di 18 lokasi strategik sejak tahun 2025 dengan peruntukan RM955 ribu.
Bagi tahun 2026 sahaja, Kerajaan MADANI telah memperuntukkan sebanyak RM33.6 juta bagi menaik taraf 104 lokasi strategik di seluruh Semenanjung Malaysia.
Pada majlis sama, KKR turut menyampaikan sijil penghargaan siap kerja kepada 10 Pengarah JKR Negeri, lima (5) Ketua Jurutera Elektrik Negeri, serta 44 kontraktor yang berjaya menyempurnakan projek mengikut tempoh dan spesifikasi ditetapkan, sekali gus menyokong pertumbuhan pemain industri tempatan.
Pelaksanaan berterusan ini menterjemahkan komitmen teguh KKR berasaskan prinsip KKR Delivery Culture dalam memperkukuh keselamatan jalan raya agar sentiasa selamat, mampan, dan berdaya tahan demi kesejahteraan rakyat.
- Log in to post comments