QUEST DAY 2026 PERKUKUH KUALITI, KESELAMATAN DAN KEMAMPANAN INDUSTRI PEMBINAAN | Kementerian Kerja Raya Skip to main content
0

QUEST DAY 2026 PERKUKUH KUALITI, KESELAMATAN DAN KEMAMPANAN INDUSTRI PEMBINAAN

Submitted by wmukk on 12 November 2026

KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) terus komited memperkukuh kredibiliti dan daya saing industri pembinaan negara menerusi penerapan budaya kecemerlangan yang mengutamakan kualiti, keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta kelestarian alam sekitar.

Komitmen ini dizahirkan menerusi penganjuran QUEST Day 2026 yang disempurnakan oleh YB Datuk Seri Dr. Haji Ahmad bin Haji Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya, di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur. Turut hadir untuk menyampaikan anugerah YBhg. Dato’ Seri Azman bin Ibrahim, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya.

Sebanyak 164 projek mencapai tahap pencapaian cemerlang dan tertinggi daripada 619 permohonan penilaian yang diterima pada tahun ini, berbanding 132 projek pada tahun sebelumnya. Penilaian tersebut dilaksanakan menerusi empat instrumen CIDB, iaitu QLASSIC, SHASSIC, MyCREST dan Sustainable INFRASTAR.

Dalam ucapannya, YB Datuk Seri Dr. Haji Ahmad bin Haji Maslan menegaskan bahawa kecemerlangan industri pembinaan bukan sekadar diukur melalui kejayaan menyiapkan projek, malah perlu mengambil kira kualiti hasil kerja, keselamatan pekerja dan impak terhadap alam sekitar.

Beliau turut mengingatkan semua pihak berkepentingan supaya menjadikan aspek kualiti, keselamatan dan kelestarian sebagai keutamaan di setiap peringkat pelaksanaan projek pembinaan.

Majlis turut memberikan pengiktirafan khas kepada Kementerian Kesihatan Malaysia dan Pengurusan Air Berhad atas kerjasama dalam pelaksanaan inisiatif penilaian bersama CIDB.

KKR melalui CIDB akan terus mempergiat usaha memperkukuh standard dan profesionalisme industri pembinaan negara bagi memastikan pembangunan infrastruktur yang berkualiti, selamat, mampan dan memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4
5
6