MENTERI KERJA RAYA RASMIKAN MESYUARAT HALATUJU STRATEGIK KEMENTERIAN KERJA RAYA BERSAMA AGENSI 2027
GENTING HIGHLANDS — Malam tadi Menteri Kerja Raya, YB. Dato' Seri Alexander Nanta Linggi telah menyempurnakan perasmian Mesyuarat Halatuju Strategik Kementerian Kerja Raya (KKR) Bersama Agensi 2027 yang berlangsung di Geo Resort & Hotel, Genting Highlands. Program ini menghimpunkan barisan kepimpinan tertinggi kementerian bersama agensi pelaksana serta badan profesional di bawah naungannya, termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Lembaga Jurutera Malaysia (BEM), Lembaga Juruukur Bahan Malaysia (BQSM), dan Lembaga Arkitek Malaysia (LAM).
Mesyuarat strategik tahunan ini berfungsi sebagai platform utama bagi memperkukuh penyelarasan dasar, keutamaan belanjawan, dan piawaian profesional dalam pelaksanaan projek infrastruktur serta jaringan pengangkutan jalan raya negara. Penglibatan bersepadu antara agensi pelaksana dan badan kawal selia profesional ini memastikan setiap perancangan fizikal sentiasa sejajar dengan etika industri bertaraf tinggi, kompetensi teknikal yang kukuh, serta kerangka agenda pembangunan nasional.
Fokus perbincangan turut memberi penekanan terhadap pemerkasaan sektor pembinaan menerusi teknologi digital seperti Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM), pengukuhan tadbir urus berasaskan integriti, dan amalan reka bentuk serta kejuruteraan mampan yang berdaya tahan iklim. Sinergi bersama badan-badan profesional turut diperhebat bagi menangani isu kelewatan projek, meningkatkan ketelusan perolehan, dan memastikan amalan perkhidmatan teknikal di tapak bina menepati standard keselamatan antarabangsa.
Menerusi komitmen jitu yang dizahirkan sepanjang persidangan ini, Kementerian Kerja Raya bertekad untuk memastikan ekosistem infrastruktur dan industri pembinaan negara menjelang tahun 2027 dapat digerakkan secara menyeluruh, siap menepati masa, serta memberi impak sosioekonomi maksimum kepada seluruh rakyat Malaysia.
- Log in to post comments