WESTPORTS DAN JKR PERKUKUH KESELAMATAN JALAN RAYA FT181, PULAU INDAH
PULAU INDAH – Westports Malaysia dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) Klang melaksanakan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bagi meningkatkan keselamatan jalan raya di sepanjang Jalan Persekutuan FT181, Pulau Indah, yang menjadi laluan utama ke Pelabuhan Klang.
Majlis perasmian inisiatif tersebut disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi. Turut hadir YBhg. Datuk Dr. Khairus Masnan bin Abdul Khalid, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar & Pembangunan).
Inisiatif ini melibatkan pemasangan dan penambahbaikan kemudahan keselamatan jalan raya, termasuk penghadang bukaan kecemasan, paku jalan serta kelengkapan jalan raya lain berdasarkan penilaian teknikal JKR.
Langkah ini penting memandangkan laluan berkenaan menampung jumlah trafik yang tinggi, termasuk kenderaan berat, motosikal dan kenderaan persendirian. Berdasarkan Laporan Kelestarian Westports 2025, sebanyak 1,068 kemalangan direkodkan di Lebuhraya Pulau Indah pada 2025, berbanding 1,185 kes pada tahun sebelumnya.
Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, turut meluangkan masa melawat Jalan Persekutuan FT181, Lebuhraya Pulau Indah, Seksyen 1.4 hingga 19.1, bagi meninjau pelaksanaan inisiatif penambahbaikan keselamatan jalan raya di laluan protokol berkenaan.
Projek Kerja-Kerja Meningkatkan Aspek Keselamatan serta Kerja-Kerja Lain yang Berkaitan di Sebahagian Jalan FT181, Daerah Klang, Selangor dilaksanakan dengan kerjasama Westports Malaysia dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Klang.
Projek ini melibatkan kerja-kerja menaik taraf perabot jalan, termasuk pemasangan Heavy Duty Double Side Road Stud dan Emergency Opening Barrier. Kerja-kerja bermula pada 3 September 2026 dan siap pada 25 Oktober 2026.
Inisiatif ini bertujuan meningkatkan tahap keselamatan dan penglihatan pengguna jalan raya, khususnya di laluan yang menampung aliran trafik tinggi serta pergerakan kenderaan berat ke Pelabuhan Klang.
Kerjasama ini memperlihatkan komitmen sektor awam dan swasta dalam meningkatkan kualiti infrastruktur serta menyediakan perjalanan yang lebih selamat dan selesa kepada pengguna jalan raya, pekerja dan penduduk setempat.
KKR mengalu-alukan kerjasama strategik seperti ini bagi memperkukuh usaha meningkatkan keselamatan jalan raya dan mengurangkan risiko kemalangan demi kesejahteraan rakyat.
- Log in to post comments