MRC 2026 PERKUKUH KERJASAMA GLOBAL, PACU INOVASI INFRASTRUKTUR JALAN MAMPAN | Kementerian Kerja Raya Skip to main content
0

MRC 2026 PERKUKUH KERJASAMA GLOBAL, PACU INOVASI INFRASTRUKTUR JALAN MAMPAN

Submitted by wmukk on 16 October 2026

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan telah menyempurnakan Majlis Penutup 13th Malaysian Road Conference and Exhibition 2026 dan 6th International Road Federation Global Asia-Pacific Regional Congress di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Bertemakan “Transforming the Nation Through Future Ready Roads”, persidangan ini menghimpunkan 1,096 peserta, termasuk delegasi dari 10 negara, bagi memperkukuh perkongsian kepakaran dan kerjasama dalam pembangunan infrastruktur jalan yang selamat, berdaya tahan dan mampan.

Sebanyak 121 kertas kerja teknikal telah dibentangkan menerusi 25 sesi selari dan tiga bengkel teknikal. Perbincangan memberi tumpuan kepada penerapan teknologi pintar, penggunaan Kecerdasan Buatan (AI), cabaran perubahan iklim serta pembangunan rangkaian jalan yang lebih cekap dan selamat.

Antara pencapaian utama ialah penganugerahan Road Engineering Excellence Award kepada JKR Sarawak menerusi projek Jambatan Muara Lassa, Sarawak. Penganjuran MRC-IIE 2026 turut menerima 25 penyertaan inovasi, manakala program Young Engineers & Professionals (YEP) menyediakan platform kepada jurutera muda untuk meneroka aplikasi teknologi dalam kejuruteraan jalan.

Pameran MRC 2026 turut mencatat sejarah apabila kesemua 112 reruai ditempah sepenuhnya sebelum persidangan berlangsung, selain menarik lebih 2,000 pengunjung. Lawatan teknikal ke empat projek infrastruktur utama negara turut memberi pendedahan kepada peserta mengenai perkembangan dan amalan terbaik dalam pelaksanaan projek.

Secara keseluruhannya, persidangan ini menjadi platform strategik untuk memperkukuh kerjasama antara kerajaan, industri dan institusi akademik serta memperluas perkongsian teknologi dan inovasi pada peringkat antarabangsa. Usaha ini selaras dengan komitmen Kementerian Kerja Raya untuk mempertingkatkan kualiti pembangunan dan pengurusan aset jalan negara demi keselamatan, kesejahteraan rakyat dan kelestarian generasi akan datang.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4