SEGERAKAN ISU PENGAMBILAN TANAH DAN PENYERAHAN TAPAK
MIRI - Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR), YBhg. Dato’ Seri Azman bin Ibrahim, mengadakan Lawatan Turun Padang dan mendengar Taklimat Khas Status Pengambilan Tanah & Kemajuan WPC 11 (Seksyen Lambir), Lebuhraya Pan Borneo Sarawak bagi memastikan isu-isu yang masih menghambat pelaksanaan projek ditangani secara segera dan berfokus. Perhatian khusus diberikan kepada pengambilan tanah, penyerahan tapak dan kemajuan kerja, dengan setiap isu perlu diterjemahkan kepada tindakan yang jelas, pemilik tindakan yang bertanggungjawab serta timeline penyelesaian yang tegas.
Turut hadir YBhg. Datuk Dr. Khairus Masnan bin Abdul Khalid, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) KKR, YBhg. Datu Adj. Prof. Ir. Ts. Is. Gs. Br. PMr. QPr. Dr. Cassidy anak Morris, Pengarah JKR Sarawak, YB Dato' Lukanisman Awang Sauni, Timbalan Menteri Luar merangkap Ahli Parlimen Sibuti, serta wakil Jabatan Tanah dan Survei Sarawak dan Sarawak Water.
Penekanan turut diberikan kepada keperluan memperkukuh koordinasi dan tindakan bersepadu antara semua pihak berkepentingan. Isu yang telah dikenal pasti tidak boleh berulang atau terus berada dalam laporan tanpa penyelesaian. Budaya Sense of Urgency, Sense of Accountability serta prinsip Follow Up & Follow Through perlu menjadi asas kepada proses. Keputusan mesti diterjemahkan kepada tindakan, tindakan mesti menghasilkan kemajuan, dan kemajuan mesti membawa projek kepada penyelesaian. Kelewatan bukan sahaja meningkatkan kos dan menjejaskan jadual, malah menangguhkan manfaat sosial dan ekonomi yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat, Sarawak dan negara.
Lebuhraya Pan Borneo adalah lebih daripada sebuah projek jalan raya, ia adalah nadi kesalinghubungan dan pemangkin pertumbuhan Sarawak. Justeru, setiap bottleneck perlu dipecahkan, setiap keputusan perlu dipercepatkan dan momentum pelaksanaan WPC 11 mesti terus dipacu. Matlamat akhirnya jelas: projek disiapkan, manfaat disampaikan dan rakyat menerima hasilnya.
- Log in to post comments