KKR TINJAU PROJEK INFRASTRUKTUR DI MANJUNG, PASTIKAN MANFAAT KEPADA RAKYAT | Kementerian Kerja Raya Skip to main content
0

KKR TINJAU PROJEK INFRASTRUKTUR DI MANJUNG, PASTIKAN MANFAAT KEPADA RAKYAT

MANJUNG  – Timbalan Menteri Kerja Raya, Yang Berhormat Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, hari ini turun padang meninjau pelaksanaan projek pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur di Manjung bersama pegawai Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Manjung.

Lawatan ini mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan penyampaian perkhidmatan infrastruktur, termasuk jalan raya, jambatan, bangunan awam dan fasiliti pendidikan, terus diperkasa demi kesejahteraan rakyat.

JKR Daerah Manjung bertanggungjawab menyelenggara 168.837 kilometer (km) Jalan Persekutuan dan 174.06 km Jalan Negeri. Sehingga Julai 2026, sebanyak RM8.14 juta diperuntukkan bagi kerja penyelenggaraan Jalan Persekutuan meliputi pembaikan jalan, sistem perparitan, garisan jalan dan jambatan.

Bagi infrastruktur jambatan, Projek Menggantikan Jambatan FT71/17/300 bernilai RM8.04 juta sedang dilaksanakan. Kerajaan Persekutuan turut meluluskan dua projek di bawah RMKe-13 Rolling Plan 1, iaitu Projek Menggantikan Jambatan FT60/42/50 Sungai Beruas bernilai RM32.2 juta serta kerja awalan Projek Menaik Taraf Lebuhraya Tanjung Malim–Lumut bernilai RM5 juta.

Dalam sektor bangunan, sebanyak lapan Projek Bangunan Persekutuan bernilai RM32.3 juta sedang dilaksanakan, termasuk pembinaan dan penambahbaikan kemudahan pendidikan serta Naik Taraf Balai Bomba dan Penyelamat Pantai Remis.

Turut diberi perhatian ialah pelaksanaan Program Cakna MADANI bagi pembinaan bilik darjah tambahan Tahun 1 Sesi 2027, melibatkan 15 bilik darjah di SK Seri Manjung, SK Seri Samudera dan SK Nakhoda Muhammad Taib.

Selain itu, sebanyak RM1.2 juta diperuntukkan bagi dua projek penyelenggaraan bangunan Persekutuan, melibatkan Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Jabatan Peguam Negara serta kerja menaik taraf apron dan pembaikan longkang di Hospital Seri Manjung.

KKR akan terus memastikan setiap projek dilaksanakan mengikut jadual, mematuhi piawaian keselamatan dan kualiti serta memberi manfaat yang nyata kepada rakyat, di samping menyokong pembangunan ekonomi setempat

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4