MAJLIS PECAH TANAH PROJEK MENAIK TARAF JALAN DI KINARUT | Kementerian Kerja Raya Skip to main content
0

MAJLIS PECAH TANAH PROJEK MENAIK TARAF JALAN DI KINARUT

PAPAR - Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, hari ini menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Menaik Taraf Jalan Lok Kawi dari Bulatan Sabindo ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kinarut, Papar. Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, Ketua Menteri Sabah.

Projek bernilai RM70.6 juta yang diluluskan di bawah Rolling Plan Ketiga (RP3), Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) ini bertujuan mengatasi kesesakan trafik di laluan berkenaan yang kini merekodkan kira-kira 27,000 kenderaan sehari dengan Tahap Perkhidmatan Jalan (Level of Service - LOS) berada pada Tahap F. Pelaksanaan projek dijangka meningkatkan kapasiti jalan, melancarkan aliran trafik serta mempertingkatkan keselamatan dan keselesaan pengguna.

Projek ini melibatkan kerja menaik taraf jalan sepanjang 1.3 kilometer daripada jalan dua lorong kepada jalan berkembar empat lorong dua hala mengikut piawaian JKR U5. Skop utama projek merangkumi penaiktarafan tiga persimpangan bulatan kepada persimpangan berlampu isyarat, pembinaan sebuah jejantas pejalan kaki dan laluan berbumbung ke sekolah, pembinaan tiga hentian bas, dua perlindungan motosikal, pemasangan lampu jalan dan lampu isyarat serta penyediaan sistem perparitan baharu.

Selain mengurangkan kesesakan, projek ini dijangka merancakkan pembangunan sosioekonomi di koridor Lok Kawi–Pengalat–Papar melalui peningkatan akses kepada kawasan perniagaan, perindustrian dan pelancongan.

Bagi memastikan projek dapat dilaksanakan mengikut jadual, KKR mengharapkan kerjasama erat Kerajaan Negeri Sabah dan semua agensi berkaitan dalam mempercepatkan proses pengambilan tanah serta pengalihan utiliti. KKR turut menggesa kontraktor yang dilantik agar melaksanakan projek dengan penuh integriti, mematuhi spesifikasi dan tempoh siap yang ditetapkan.

KKR bersama Jabatan Kerja Raya Malaysia dan Jabatan Kerja Raya Negeri Sabah akan melaksanakan pemantauan secara berterusan bagi memastikan projek berjalan lancar serta mencapai objektif menyediakan rangkaian jalan Persekutuan yang lebih berkualiti, selamat dan selesa demi kesejahteraan rakyat Sabah.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4
5