LAWATAN KERJA KETUA SETIAUSAHA KKR KE PROJEK DI NEGERI KELANTAN | Kementerian Kerja Raya Skip to main content
0

LAWATAN KERJA KETUA SETIAUSAHA KKR KE PROJEK DI NEGERI KELANTAN

GUA MUSANG - Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR), YBhg. Dato' Seri Azman Ibrahim hari ini mengadakan lawatan kerja ke beberapa projek pembangunan jalan di Negeri Kelantan bagi meninjau kemajuan pelaksanaan serta memastikan setiap projek dilaksanakan mengikut jadual, spesifikasi dan piawaian yang ditetapkan.

Lawatan dimulakan dengan tinjauan ke Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) Pakej 3: Gua Musang, Kelantan ke Kampung Relong, Pahang, Seksyen 3D: Bulatan Gua Musang ke Mentara. Projek sepanjang 10.5 kilometer ini melibatkan pembinaan jalan baharu, penaiktarafan jalan sedia ada kepada jalan empat lorong dua hala serta pembinaan lima buah jambatan bagi meningkatkan tahap kesalinghubungan dan keselamatan pengguna jalan raya.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar & Pembangunan) KKR, YBhg. Datuk Dr. Khairus Masnan Abdul Khalid; Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg. Dato' Ir. Ibrahim Isa; Pengarah Kanan Cawangan Jalan JKR Malaysia, Ir. Hajah Atikah; serta Pengarah Kerja Raya Negeri Kelantan, YBrs. Tuan Nik Badlihisham Nik Ismail.

Dalam lawatan yang sama, YBhg. Dato' Seri Azman turut meninjau Projek Pembaikan Mendapan Tambakan FT036 Jalan Aring - Jeneris (Pakej 6A: Aring - Sempadan Kelantan/Terengganu) bagi melihat sendiri hasil kerja-kerja pembaikan sementara yang telah disiapkan di lokasi terjejas.

Bagi memastikan laluan kekal selamat dan boleh digunakan oleh orang awam, KKR telah meluluskan peruntukan sebanyak RM4.0 juta kepada Cawangan Jalan bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan sementara di tiga lokasi mendapan tambakan.

Sementara itu, bagi pelaksanaan kerja-kerja pembaikan kekal, Kementerian Ekonomi telah meluluskan peruntukan sebanyak RM194 juta di bawah Rolling Plan 1 (RP1) Tahun 2026, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) secara off budget pada 16 Jun 2026.

Menutup lawatan kerja hari ini, YBhg. Dato' Seri Azman turut meninjau Projek Pembinaan Jambatan Sungai Nibong, Kuala Balah, Jeli. Skop projek ini merangkumi pembinaan jambatan baharu sepanjang 237 meter dan jalan tuju sepanjang 257 meter mengikut piawaian R1, kerja-kerja tanah dan perlindungan cerun (slope protection), menaik taraf sistem perparitan serta pembentung sedia ada, menaik taraf persimpangan sedia ada, pengalihan utiliti dan pemasangan perabot jalan.

Lawatan kerja ini mencerminkan komitmen berterusan KKR dalam memantau pelaksanaan projek secara dekat bagi memastikan setiap pembangunan infrastruktur disiapkan dengan berkualiti, mengikut perancangan serta memberi manfaat terbaik kepada rakyat.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4