PROJEK PEMBAIKAN CERUN RM10.4 JUTA DI LALUAN FT185 LOJING SIAP SEPENUHNYA, TINGKAT KESELAMATAN PENGGUNA | Kementerian Kerja Raya Skip to main content
0

PROJEK PEMBAIKAN CERUN RM10.4 JUTA DI LALUAN FT185 LOJING SIAP SEPENUHNYA, TINGKAT KESELAMATAN PENGGUNA

LOJING - Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia telah menyempurnakan penyerahan Projek Pembaikan Cerun, Membina Perangkap Debris Flow dan Pembinaan Saliran di Laluan FT185 Seksyen 61, Jalan Simpang Pulai – Gua Musang, Kelantan. Majlis penyerahan ini disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, sebagai tanda komitmen kerajaan dalam memastikan laluan strategik tersebut terus selamat dan berfungsi untuk rakyat.

Projek yang bernilai RM10.4 juta ini dilaksanakan bertujuan untuk meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya, mengurangkan risiko kejadian aliran puing yang berulang, serta memperkukuh daya tahan infrastruktur jalan Persekutuan di kawasan yang berisiko tinggi. Menariknya, pelaksanaan Sabo Dam di lokasi ini mencatatkan pencapaian penting sebagai Sabo Dam keempat di Semenanjung Malaysia selepas Pahang, Negeri Sembilan, dan Kedah.

Projek ini telah dilaksanakan oleh Pintas Utama Sdn. Bhd. melalui kaedah Arahan Kerja (AK) dalam tempoh 13 bulan, bermula pada 18 Jun 2025 dan siap sepenuhnya pada 14 Julai 2026. KKR berharap dengan siapnya projek ini, tahap keselamatan, keyakinan pengguna, dan kebolehlaluan di laluan tersebut dapat dipertingkatkan demi manfaat rakyat serta ekonomi setempat.

Secara keseluruhannya, KKR dan JKR Malaysia sentiasa komited dalam melaksanakan kerja-kerja penyenggaraan cerun. Usaha ini mencerminkan keprihatinan Kerajaan MADANI dan iltizam JKR untuk terus memperkukuh kualiti infrastruktur jalan raya demi menjamin keselamatan dan keselesaan para pengguna.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4
5