SESI PERJUMPAN KETUA SETIAUSAHA KEMENTERIAN KERJA RAYA BERSAMA JURUTERA DAERAH SELURUH MALAYSIA: PENJELASAN DASAR STRUKTUR IKLAN DI RIZAB JALAN PERSEKUTUAN | Kementerian Kerja Raya Skip to main content
0

SESI PERJUMPAN KETUA SETIAUSAHA KEMENTERIAN KERJA RAYA BERSAMA JURUTERA DAERAH SELURUH MALAYSIA: PENJELASAN DASAR STRUKTUR IKLAN DI RIZAB JALAN PERSEKUTUAN

KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) hari ini telah mengadakan Sesi Perjumpaan Ketua Setiausaha KKR Bersama Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) dari seluruh Malaysia. Program penting ini turut dihadiri bersama oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Sektor Dasar dan Pembangunan), YBhg. Datuk Dr. Khairus Masnan bin Abdul Khalid, serta Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg. Dato' Ir. Ibrahim Esa.

Tujuan utama sesi perjumpaan ini diadakan adalah untuk menjelaskan keputusan dasar yang telah diputuskan oleh Jemaah Menteri pada 28 November 2025 berhubung pengurusan dan kawal selia struktur iklan di dalam rizab Jalan Persekutuan. Melalui ketetapan baharu ini, Jemaah Menteri bersetuju bahawa kelulusan struktur iklan di dalam kawasan tersebut adalah di bawah kuasa sepenuhnya Menteri Kerja Raya, selaras dengan peruntukan Seksyen 85A, Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333].

Impak daripada keputusan dasar ini, segala kelulusan struktur iklan yang terletak di dalam rizab Jalan Persekutuan kini tidak lagi tertakluk kepada Kebenaran Merancang oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), termasuklah urusan yang berkaitan dengan lesen iklan dan visual. Bagaimanapun, pihak Kementerian menegaskan bahawa struktur iklan yang dibina di luar rizab Jalan Persekutuan adalah kekal di bawah bidang kuasa dan kelulusan PBT masing-masing.

Melalui taklimat dan penjelasan terus kepada para Jurutera Daerah di peringkat akar umbi, KKR berharap pelaksanaan dasar baharu ini dapat diselaraskan dengan cekap dan seragam di seluruh negara. Langkah ini juga dijangka dapat memperkemas proses birokrasi, sekali gus memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan estetika visual di sepanjang rizab Jalan Persekutuan sentiasa terpelihara.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4