MEMPERKUKUH PENYELARASAN, MEMPERCEPAT PELAKSANAAN LTU PAHANG | Kementerian Kerja Raya Skip to main content
0

MEMPERKUKUH PENYELARASAN, MEMPERCEPAT PELAKSANAAN LTU PAHANG

PAHANG – Kementerian Kerja Raya (KKR) terus memperkukuh usaha memastikan pelaksanaan Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) di Negeri Pahang berjalan lancar menerusi penyelarasan bersepadu antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan agensi pelaksana. Sehubungan itu, Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Projek Khas (Task Force) bagi Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) Negeri Pahang Bilangan 2 Tahun 2026 yang berlangsung di Bilik Gerakan Pejabat Daerah dan Tanah Lipis, Pahang telah dipengerusikan bersama oleh YBhg. Dato’ Seri Azman bin Ibrahim, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya dan YB. Dato Sri Nazri bin Abu Bakar, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang.

Turut hadir YBhg. Datuk Dr. Khairus Masnan bin Abdul Khalid, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) KKR; YBrs. Ir. Mohd Shahrom bin Ahmad Saman, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infra); YH. Dato’ Mohd Hafizi bin Ibrahim, Pegawai Daerah Lipis; Dato’ Ir. Ts. Hafizah binti Zakaria, Pengarah JKR Negeri Pahang; serta pegawai-pegawai kanan KKR, Kerajaan Negeri Pahang dan agensi-agensi berkaitan.

Fokus utama mesyuarat adalah untuk membincangkan dan mengesyorkan tindakan bagi menyegerakan pelaksanaan projek yang mengalami kelewatan akibat kelemahan prestasi kontraktor, di samping memastikan semua keputusan yang telah dipersetujui dapat dilaksanakan secara berkesan dan teratur.

Secara keseluruhannya, pelaksanaan Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) di Negeri Pahang terus menunjukkan perkembangan positif dengan beberapa seksyen projek mencatat kemajuan yang memberangsangkan. Antara perkembangan utama ialah Seksyen 3J (Kg. Seberang Jelai ke Kg. Relong) yang telah mencapai hampir 90 peratus kemajuan fizikal dan dijangka siap dalam masa terdekat, manakala Seksyen 5A (Raub Bypass) telah siap sepenuhnya serta dibuka kepada pengguna jalan raya.

Bagi memastikan projek yang masih mengalami kelewatan dapat dipercepatkan, KKR dan JKR telah mengarahkan kontraktor melaksanakan pelan pemulihan termasuk penambahan tenaga kerja, jentera dan peralatan di tapak. Pemantauan secara berkala melalui mesyuarat kemajuan dan lawatan tapak turut dilaksanakan bagi memastikan baki kerja kritikal dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.

Mesyuarat turut meneliti status pengambilan balik tanah, prestasi fizikal dan kewangan projek serta cadangan kesinambungan rangkaian LTU yang bakal melengkapkan hubungan jalan raya strategik antara Pantai Timur dan Pantai Barat Semenanjung Malaysia. Perkembangan ini diyakini dapat meningkatkan kesalinghubungan, mempercepat pergerakan logistik dan membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada masyarakat setempat.

Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan inisiatif MYJalan, KKR komited memastikan pelaksanaan projek infrastruktur strategik yang cekap, berkualiti dan berimpak tinggi bagi memperkukuh kesalinghubungan, memacu pembangunan ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.


 

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3