KSU KEMENTERIAN KERJA RAYA TURUN PADANG TINJAU KEROSAKAN KUARTERS JKR BATU 4½ AKIBAT RIBUT
KUALA LUMPUR - YBhg. Dato' Seri Azman bin Ibrahim, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR) telah turun padang meninjau keadaan rumah kuarters JKR Batu 4½, Sungai Besi yang rosak akibat ribut kuat pada 25 Mei 2026.
Turut hadir ialah YBhg. Dato Zainal Alhakab Seman, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KKR dan YBrs. Muhammad Haizul Azreen bin Usol Ghafli, Setiausaha Bahagian Kewangan KKR dan Wakil Cawangan Aset dan Kuarters, Bahagian Pengurusan Fasiliti KKR bersama Jabatan Kerja Raya Wilayah Persekutuan KL (JKR WPKL).
Ribut yang melanda sekitar jam 3.00 petang itu menyebabkan kerosakan teruk pada bumbung dan beberapa struktur rumah kerajaan. Sebanyak 65 buah rumah terjejas dengan kerosakan bumbung dianggarkan antara 80 hingga 100 peratus. Beberapa garaj dan struktur luar rumah turut mengalami kerosakan. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Dalam lawatan tersebut, YBhg. Dato' Seri Azman turut diberi taklimat mengenai tindakan segera yang telah diambil oleh Unit Tenaga Jabatan (Bahagian Senggara Am dan Istiadat) JKR WPKL, termasuk pemeriksaan keselamatan, pemindahan sementara penghuni terjejas serta kerja pemasangan penutup bumbung bagi melindungi rumah yang rosak.
Setakat ini, kerja pembaikan bumbung telah siap bagi 52 unit rumah, manakala baki 13 unit sedang dalam tindakan. KKR juga sedang meneliti cadangan pembaikan menyeluruh melibatkan 64 unit rumah dengan anggaran kos sekitar RM4.1 juta.
YBhg. Dato' Seri Azman turut mengarahkan agar tindakan pembaikan disegerakan bagi memastikan keselamatan dan keselesaan penghuni sentiasa terjamin. Beliau juga meminta pihak JKR menyediakan anggaran kos pembaikan menyeluruh bagi kuarters tersebut untuk dikemukakan kepada Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi bagi tujuan pertimbangan dan kelulusan peruntukan.
KKR melalui JKR akan terus memastikan proses pembaikan dilaksanakan dengan segera dan teratur demi keselamatan serta kebajikan penghuni yang terlibat selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
- Log in to post comments