KKR & JKR SABAH PERCEPAT PELAKSANAAN PAN BORNEO SABAH, TEKAN PENYELESAIAN SEGERA ISU UTILITI DAN PROJEK TERTANGGUH | Kementerian Kerja Raya Skip to main content
0

KKR & JKR SABAH PERCEPAT PELAKSANAAN PAN BORNEO SABAH, TEKAN PENYELESAIAN SEGERA ISU UTILITI DAN PROJEK TERTANGGUH

KOTA KINABALU – Kementerian Kerja Raya (KKR) bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah terus memperkukuh komitmen bagi mempercepat pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah demi memastikan keselesaan dan keselamatan rakyat terus terjamin.

YBhg. Dato’ Seri Azman bin Ibrahim, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya telah hadir mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Bilangan 5 Tahun 2026 bersama Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya Sabah, YBhg. Datuk Ridzwan Roger Linus.

Semasa Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Bilangan 5 Tahun 2026, YBhg. Dato' Seri KSU KKR menegaskan keperluan tindakan segera di lapangan khususnya melibatkan isu utiliti, pakej lewat dan projek sakit yang memberi kesan langsung kepada pengguna jalan raya. Beliau turut menekankan supaya semua pihak menunjukkan komitmen penuh serta mempercepatkan penyelesaian isu di tapak termasuk pemindahan utiliti dan penyelarasan kerja antara agensi berkaitan. 

Semua SOR (Site Officer Representative) yang terlibat diminta memberi perhatian penuh terhadap pakej masing-masing serta turun sendiri ke lapangan bagi memastikan tindakan intervensi dilaksanakan dengan segera. Dalam masa yang sama, YBhg. Datuk SUT Sabah memaklumkan bahawa Ketua Menteri Sabah sendiri telah turun meninjau beberapa pakej projek termasuk Pakej 25 dan melihat sendiri cabaran melibatkan tanah dan utiliti. Mesyuarat turut dimaklumkan bahawa aspek pencahayaan di tapak projek perlu dipertingkatkan susulan aduan dan kebimbangan pengguna jalan raya.

KKR dan JKR Sabah akan terus memperkukuh kerjasama strategik bersama semua agensi dan pihak berkepentingan bagi memastikan pelaksanaan Projek Pan Borneo Sabah berjalan lancar serta memberi manfaat terbaik kepada rakyat.

Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan MYJalan, KKR komited memastikan pembangunan infrastruktur negara dilaksanakan secara mampan, cekap dan berimpak tinggi demi kesejahteraan rakyat serta kemakmuran negara secara menyeluruh.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3