PERHIMPUNAN BULANAN KKR MEI 2026: “PEKERJA MADANI KESUMA BANGSA”
KUALA LUMPUR — Kementerian Kerja Raya (KKR) hari ini telah mengadakan Perhimpunan Bulanan KKR bagi bulan Mei 2026 yang berlangsung dalam suasana penuh semangat, harmoni dan kebersamaan, selari aspirasi “Pekerja MADANI Kesuma Bangsa”.
Perhimpunan anjuran bersama Bahagian Perancangan Korporat, Pejabat Penasihat Undang-Undang serta Bahagian Khidmat Pengurusan KKR ini telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan
Hadir sama YBhg. Dato’ Zainal Alhakab Seman, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KKR; YBrs. Ir. Mohd Shahrom Ahmad Saman, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infra); YBhg. Dato’ Ar. Dr. Azman Md. Hashim, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan); YBrs. Puan Junaidah binti Jamni, Pengarah Kanan Pengurusan LLM; serta YBrs. Sr Ahmad Farrin Mokhtar, Pengurus Besar Kanan CIDB.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua Penasihat Undang-Undang, YBrs. Puan Noerazlim Saidil seterusnya ucaptama daripada YB Timbalan Menteri Kerja Raya.
Dalam amanat beliau, YB Timbalan Menteri Kerja Raya menegaskan kepentingan budaya kerja berprestasi tinggi, pengukuhan semangat kerja berpasukan serta komitmen berterusan seluruh warga KKR dalam memastikan agenda pembangunan infrastruktur negara terus dipacu demi kesejahteraan rakyat.
Perhimpunan turut diserikan dengan pelbagai pengisian menarik termasuk ceramah motivasi bertajuk “Adventures in Attitudes” oleh YBrs. Dr. A. Sher Kawi Jaafar, pertandingan Kahoot bersempena Hari Pekerja, sesi Hall of Fame, penyampaian sijil penghargaan Program Jom Baca Bersama Peringkat KKR Tahun 2026 serta lawatan ke reruai pameran jabatan dan agensi yang mengetengahkan pelbagai inisiatif serta perkhidmatan.
Penganjuran program ini bukan sahaja menjadi medium penyampaian amanat kepimpinan, malah memperkukuh semangat kebersamaan dan budaya kerja cemerlang dalam kalangan warga KKR ke arah merealisasikan aspirasi Malaysia MADANI.
- Log in to post comments