PROJEK PENAMBAHBAIKAN LALUAN RED LINE — SEKSYEN KEMENA, BINTULU
BINTULU - Lawatan Kerja YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya hari ini ke Sarawak diteruskan ke Bintulu dari Miri bagi meninjau Projek Pemulihan dan Pengukuhan Laluan Empat Lorong Sedia Ada (Red Line) di Seksyen Kemena (Long Stretch), di bawah Rolling Plan 1, Rancangan Malaysia Ke-13 (RP1, RMKe-13) Tahun 2025.
Tinjauan ini turut disertai oleh YBhg. Dato’ Seri Azman bin Ibrahim, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya; YBhg. Dato’ Mohd Sakeri bin Abdul Kadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar & Pembangunan) KKR; YBrs. Ir. Wisil anak Lichok, Timbalan Pengarah (Infrastruktur) JKR Sarawak; serta pegawai kanan KKR dan JKR Sarawak.
Projek ini dilaksanakan bagi memulihkan dan mengukuhkan laluan kembar empat lorong (piawaian JKR R5) sedia ada supaya sepadan sebelum diintegrasikan dengan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak. Langkah ini penting bagi memastikan pergerakan rakyat dan barangan di Sarawak menjadi lebih cepat, selamat dan efisien.
Maklumat Projek Utama:
• Lokasi: Dari Simpang Lapangan Terbang Bintulu hingga Batu 5 (14.25 km)
• Kategori Jalan: Jalan Persekutuan
• Jenis Jalan: Lentur (Flexible Pavement)
• Komponen Utama Kerja:
• Pembinaan Continuously Reinforced Concrete Pavement di 7 persimpangan berlampu isyarat
• Kerja-kerja pengukuhan turapan menggunakan Cement Stabilised Road Base sepanjang 11.45 km
• Anggaran Kos Keseluruhan: RM136 juta
Projek ini merupakan sebahagian daripada kesinambungan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak Fasa 1 yang meliputi jarak keseluruhan 786.41 km dari Telok Melano hingga ke Pujut Link Road, Miri — mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dalam membangunkan infrastruktur berkualiti tinggi demi kesejahteraan rakyat Sarawak dan aspirasi Malaysia MADANI.
- Log in to post comments