Skip to main content
0

Personel Industri Lebuh Raya diraikan di Majlis APKIL 2022.

Bandar Baru Bangi, Selangor, 5 Mei 2023 - Menteri Kerja Raya, YB Dato Seri Alexander Nanta Linggi telah diundang oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) pada Jumaat yang lalu bagi menyempurnakan Majlis Anugerah Kecemerlangan Personel Industri Lebuh Raya (APKIL) 2022 di Dewan Tan Sri M. Yusuff.

Majlis ini adalah suatu pengiktirafan dan penghargaan yang relevan untuk menghargai dan memberi semangat kepada warga kerja industri lebuh raya yang berprestasi cemerlang. Beliau juga telah menyatakan harapan bahawa dengan pengiktirafan anugerah ini, ia dapat memacu motivasi dan semangat para petugas untuk terus bekerja dengan lebih efisien dan berinovasi dalam membantu memaju dan meningkatkan industri ini dalam pelbagai aspek seperti pengurusan, pembangunan, dan perkhidmatan lebuh raya.

Sebanyak tujuh kategori anugerah telah disampaikan oleh YB Menteri Kerja Raya dan diiringi oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya YBhg. Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam Bin Haji Ahmad dan Ketua Pengarah LLM Dato’ Ir. Mohd Shuhaimi Bin Hassan kepada 76 orang penerima anugerah.

Diantara kategori anugerah yang diterima adalah Anugerah Pencapaian Memeterai Perjanjian Pajakan Tanah, Anugerah Khas Kecemerlangan Personel Industri Lebuh Raya dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (Kategori Syarikat Konsesi Lebuh Raya).

YB Dato Seri Alexander juga sempat berucap berkaitan usaha membina industri lebuh raya yang lebih mampan dan berdaya saing dalam merangsang pertumbuhan ekonomi negara.  Untuk tujuan ini, kerajaan telah bersetuju untuk melaksanakan kutipan tol secara Multi Lane Fast Flow (MLFF). Penggunaan teknologi MLFF akan memberi manfaat kepada pengguna lebuh raya dengan mengurangkan kesesakan lalu lintas dan mempercepatkan waktu perjalanan, selain meningkatkan kecekapan pengurusan dan pungutan tol bagi syarikat konsesi.

LLM bersama pihak yang berkaitan akan melaksanakan Proof of Concept (POC) MLFF di Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) menggunapakai gabungan teknologi Radio Frequency Identification (RFID) dan Automatic Number Plate Recognition (ANPR) selewat-lewatnya pada penghujung Oktober 2023. Pelaksanaan POC bertujuan menentusahkan kecekapan sistem front end gantry MLFF terhadap Petunjuk Prestasi Utama yang ditetapkan dalam operasi lebuh raya dan memberikan keyakinan kepada pengendali lebuh raya bahawa teknologi ini akan berfungsi dengan berkesan dan efisien dalam situasi trafik sebenar.

Keperluan dan kehendak pengguna lebuh raya adalah menjadi keutamaan industri lebuh raya.  Mereka adalah fokus dalam setiap inisiatif dan keputusan yang dibuat oleh Kerajaan bersama LLM dan syarikat konsesi. Ini termasuklah memastikan kualiti dan kebolehpercayaan lebuh raya, menyediakan kemudahan asas seperti kawasan rehat dan rawat, bantuan kecemasan, serta memastikan keselamatan pengguna lebuh raya.

Tarikh Dan Waktu Acara