Skip to main content
0

Hospital Pendang, Kedah Kini Hospital Pakar Minor Bakal Mula Beroperasi Februari 2023

PENDANG, KEDAH, 12 JANUARI 2023 – Majlis Penyerahan Projek Hospital Pendang telah disempurnakan oleh YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya hari ini bersama-sama YB Dr. Zaliha Binti Mustafa, Menteri Kesihatan Malaysia. Hadir sama bagi menyaksikan majlis penyerahan projek tersebut adalah Duli Yang Amat Mulia, Tunku Shazuddin Ariff Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Tunku Mahkota Kedah.

Objektif utama pembinaan Projek Hospital Pendang adalah untuk memberi perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada masyarakat setempat serta kawasan sekitarnya. Projek yang dilaksanakan secara Reka dan Bina ini memuatkan sebanyak 126 katil pesakit dan empat (4) dewan bedah. Ini sekaligus menjadikan Hospital Pendang dikategorikan sebagai hospital pakar minor.  Projek Pembinaan Hospital Pendang, Kedah telah diluluskan dengan kos keseluruhan sebanyak RM255.27 juta melibatkan kos pembinaan dan perolehan peralatan perubatan serta bukan perubatan.

Kos kontrak pembinaan adalah sebanyak RM210.64 juta dengan tempoh pelaksanaan selama 214 minggu.  Kerja - kerja pembinaan telah bermula pada 7 Mei 2018 (Tarikh Milik Tapak) dan siap sepenuhnya pada13 Oktober 2022 (Sijil Perakuan Siap Kerja, CPC) iaitu lebih awal dari tarikh penyiapan asal mengikut kontrak.  Projek ini juga menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (Industrialised Building System) dan menggabungkan Pemodelan Maklumat Bangunan (Building Information Modelling). Kaedah ini adalah bertepatan dengan usaha Kementerian untuk meningkatkan kualiti dan produktiviti pembinaan, menyeragamkan reka bentuk, mempercepatkan tempoh pembinaan serta mengurangkan kebergantungan kepada tenaga pekerja asing.

Selaras dengan konsep hospital kluster, Hospital Pendang akan menjadi hospital sokongan kepada hospital-hospital pakar major yang lain iaitu Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dan Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.  Hospital Pendang ini juga akan menjadi pusat rujukan kepada klinik kesihatan dan klinik desa di sekitar kawasan Daerah Pendang seperti Klinik Kesihatan Pendang, Klinik Kesihatan Sungai Tiang dan Klinik Kesihatan Kubur Panjang yang menerima pertambahan bilangan pesakit harian yang tinggi setiap tahun. 

Hospital ini akan mula beroperasi pada 15 Februari 2023 dengan 11 bidang kepakaran seperti Kecemasan, Orthopedik, Perubatan Am, Anestesiologi, Pembedahanan Am, Radiologi, Obstetrik dan Ginekologi, Patologi, Paediatrik dan Psikiatri.  Hospital ini akan dilengkapkan dengan satu unit mesin CT Scan bagi membolehkan proses diagnostik dan rawatan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan tanpa memerlukan pesakit dirujuk ke hospital-hospital pakar major dan untuk itu, Kementerian Kesihatan Malaysia telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM4.5 juta bagi melaksanakan perolehan mesin tersebut pada tahun ini.

Tarikh Dan Waktu Acara