Skip to main content
1

13 Kuala Lumpur Media Practitioners Recognized at the Construction Media Awards 2019

13 Pengamal Media Semenanjung Diiktiraf Sempena Anugerah Media Pembinaan 2019

KUALA LUMPUR, 7 DISEMBER 2019 - Anugerah Media Pembinaan CIDB 2019 (AMP 2019) Siri Semenanjung meraikan kecemerlangan 13 wartawan dan jurugambar pada siri terakhir Anugerah tersebut. Majlis khusus menghargai pihak media anjuran Kementerian Kerja Raya dan agensinya Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) ini telah diadakan untuk Siri Sarawak pada 15 November 2019 manakala Siri Sabah pada 22 November 2019.

AMP 2019 yang dianjurkan buat kali ke-5 ini memberi penghargaan kepada wartawan dan jurugambar yang komited dalam menyalurkan maklumat berkaitan dengan sektor pembinaan kepada rakyat Malaysia. Anugerah-anugerah tersebut disampaikan oleh Menteri Kerja Raya, YB Tuan Baru Bian bertempat di Hotel Seri Pacific.

The Star, TV3 dan Utusan Malaysia masing-masing telah merangkul dua anugerah di AMP 2019 Semenanjung. The Star dan Utusan Malaysia telah membawa pulang anugerah dalam Kategori Media Cetak & Portal Berita dan Kategori Fotografi. Manakala TV3 memenangi tempat kedua dan ketiga dalam kategori Media Penyiaran Televisyen dan Video Dalam Talian.

Berita Harian menerusi wartawannya Wan Noor Hayati Binti Wan Alias telah memenangi tempat pertama dalam kategori Media Cetak & Portal Berita, dengan penulisan bertajuk “Isu Keselamatan Tapak Binaan”. Tempat kedua dimenangi Laupa Bin Junus dari Utusan Malaysia dengan tajuk “Kawal suhu rumah dengan aplikasi” dan tempat ketiga Sheila Sri Priya A/P Raman Chetty dari The Star dengan tajuk “Urban Challenge”.

Tempat pertama dalam kategori Media Penyiaran Televisyen dan Video Dalam Talian dimenangi oleh wartawan Bernama News Channel, Mohd Noor Iqram Bin Rosli, Mohd Azmirul Fariz Bin Mohd Azmi & Muhamad Bin Salim menerusi liputannya, “Pengumpulan data baru kenalpasti cerun berisiko siap Oktober tahun ini”. Tempat kedua ialah Wan Zairul Azri Bin Wan Mohammad Sudin dan Norliza Binti Mohd Salleh dari TV3, dengan liputannya “Masih ada kompromi” dan tempat ketiga, Khairul Rizuan Bin Azizan dan Muhammad Solleh Bin Ahmad Kamal juga dari TV3, menerusi liputan bertajuk “100 Rumah retak akibat projek pemasangan paip pembentungan Langat Dua di Kajang”.

Tempat pertama dalam kategori Fotografi dimenangi oleh Chen Soon Ling, jurufoto The Star, dengan gambarnya yang bertajuk “All hands on deck in MRT Line 3”, tempat kedua Lek Kah Meng dari Sin Chew Daily dengan foto “The fully equipped welder” dan ketiga dimenangi Azlan Bin Bahrum dari Utusan Malaysia dengan fotonya “Drawbridge - Persiapan percubaan”.

Karya-karya penyertaan berkisar tentang sektor pembinaan berdasarkan empat teras strategik Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) 2016-2020, iaitu Kualiti, Keselamatan dan Profesionalisme, Kemampanan Alam Sekitar, Produktiviti serta Pengantarabangsaan. Kesemua pemenang membawa pulang wang tunai, sijil dan plak hadiah dengan pemenang tempat Pertama membawa pulang wang tunai RM5,000, Kedua RM3,000, Ketiga RM2,000 dan saguhati RM1,000.

Tarikh Dan Waktu Acara