SESI DIALOG BELANJAWAN 2026 KEMENTERIAN KERJA RAYA (KKR) BERSAMA PENGGIAT INDUSTRI PEMBINAAN | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

SESI DIALOG BELANJAWAN 2026 KEMENTERIAN KERJA RAYA (KKR) BERSAMA PENGGIAT INDUSTRI PEMBINAAN

KUALA LUMPUR - Kementerian Kerja Raya (KKR) hari ini telah mengadakan Sesi Dialog Belanjawan 2026 bersama penggiat industri, agensi kerajaan, persatuan profesional, dan pihak berkepentingan lain di Kompleks Kerja Raya. Sesi dialog ini menjadi platform penting untuk Kementerian Kerja Raya mendapatkan cadangan dan maklum balas langsung daripada pihak industri bagi memastikan Belanjawan 2026 yang bertemakan “Memacu Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat” yang akan dibentangkan kelak adalah holistik dan responsif kepada keperluan sektor pembinaan. 

2. Sesi dialog tersebut dipengerusikan oleh YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya dengan dibarisi panel iaitu YBhg. Dato' Seri Azman bin Ibrahim, Ketua Setiausaha KKR dan YBhg. Dato' Ar. IDr. Azman Bin Md. Hashim, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Pakar) serta dihadiri pegawai-pegawai kanan kementerian/agensi yang berkaitan. 

3. Dalam ucapan perasmian sesi dialog, YB Menteri Kerja Raya menegaskan bahawa KKR komited untuk memastikan pembangunan infrastruktur negara terus diperkasakan, selaras dengan aspirasi kerajaan dan keperluan rakyat. Beliau menekankan bahawa input daripada pelbagai pihak berkepentingan adalah penting untuk memastikan Belanjawan 2026 dapat menangani cabaran semasa dan memacu pertumbuhan sektor pembinaan ke arah yang lebih lestari dan berdaya saing. YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi juga menyatakan bahawa beliau dijangka akan bertemu dengan YB Menteri Kewangan II pada 22 Ogos 2025 untuk membincangkan cadangan inisiatif utama daripada KKR. 

4. Antara fokus utama perbincangan semasa sesi dialog tersebut termasuklah meliputi 47 perkara di bawah Belanjawan 2026 dan 23 pandangan berkaitan ’Ease of Doing Business’. Cadangan Belanjawan 2026 telah disusun dan dibincangkan mengikut tema utama iaitu ’menaikkan siling’, ’menaikkan lantai’ dan tatakelola. Antara cadangan belanjawan meliputi:

a. Penyelenggaraan dan Naik Taraf Infrastruktur Sedia Ada:

b. Pemerkasaan dan Pembangunan Kapasiti Kontraktor Tempatan termasuk Kontraktor Wanita;

c. Insentif Digitalisasi dan Adaptasi Teknologi Pembinaan;

d. Kelestarian dan Amalan Hijau; dan

e. Tatakelola dan Amalan Terbaik. 

5. Sebelum sesi dialog ini bermula, agenda program keseluruhan turut melibatkan keynote speaker bertajuk “Aspirasi KKR 2026-2030 “yang disampaikan oleh YBhg Dato’ Sakeri bin Abdul Kadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) KKR serta pembentangan oleh Kementerian Kewangan mengenai Pelaksanaan Cukai dalam dalam industri pembinaan.

6. Hampir 200 orang mewakili pemegang taruh dan agensi kementerian yang berkaitan telah hadir. Sesi dialog ini telah menghasilkan maklum balas yang konstruktif dan berharga. Segala cadangan yang relevan akan dipertimbangkan dalam penyediaan Belanjawan 2026 bagi memastikan sektor pembinaan kekal berdaya saing, mampan, dan dapat menyumbang secara signifikan kepada pembangunan sosioekonomi negara. Hasil sesi dialog ini akan diangkat ke Kementerian Kewangan untuk tindakan sewajarnya.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4