Sambutan Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2019 “Profesion Bidang Teknikal Teras Kemakmuran Bersama”. | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
1

Sambutan Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2019 “Profesion Bidang Teknikal Teras Kemakmuran Bersama”.

Sambutan Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2019 “Profesion Bidang Teknikal Teras Kemakmuran Bersama”.

KUALA LUMPUR, 3 DISEMBER 2019 - Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) telah menganjurkan Sambutan Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2019 bertempat di Pusat Konvensyen Telekom Malaysia, Menara TM, Kuala Lumpur selama dua (2) hari bermula pada 3 Disember hingga 4 Disember 2019. Acara ini disempurnakan perasmiannya oleh YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia.

Objektif utama penganjuran sambutan HPTN adalah sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan atas jasa yang disumbangkan oleh para profesion teknikal dalam membangunkan landskap pembangunan di negara kita.

Sambutan HPTN pada peringkat kebangsaan buat julung kalinya diadakan pada tahun ini bertemakan “Profesion Bidang Teknikal Teras Kemakmuran Bersama”. Tema ini dipilih adalah bertepatan dengan usaha Kerajaan dalam merealisasikan usaha ke arah mencapai “Wawasan Kemakmuran Bersama 2030” yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia baru-baru ini.

Salah satu daripada teras strategi ini adalah untuk memastikan transformasi modal insan yang berfokuskan kepada penyediaan sumber tenaga yang lebih produktif, efektif, berkemahiran, berteknologi dan bernilai tinggi untuk menjadikan negara kita membangun secara mampan.

Antara elemen lain yang penting untuk menjayakan “Wawasan Kemakmuran Bersama 2030” ini ialah, keupayaan negara menghasilkan profesion teknikal yang terdiri daripada pelbagai disiplin dan bidang. Modenisasi sektor pembangunan fizikal, kesejahteraan kesihatan dan kecemerlangan modal insan menjadi aspirasi pewujudan negara bangsa. Sehubungan itu, peranan profesion teknikal dalam memodenkan sektor pembangunan yang mampan adalah amat penting dan tidak dapat disangkal lagi.

Sambutan HPTN selama dua (2) hari ini adalah atas penyertaan dan usaha sama daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta termasuk Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) serta Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Pelbagai program akan berlangsung di antaranya ialah empat belas (14) sesi pembentangan kertas kerja serta perkongsian pengetahuan, kepakaran dan pengalaman yang meliputi pelbagai skop akademik dan teknikal oleh panel penceramah yang dijemput khas. Pertandingan futsal, E-Sport, pertandingan Science, Technology, Engineering & Mathematics (STEM), majlis pelancaran produk, majlis tandatangan MOA & MOU serta pelbagai aktiviti sampingan turut diadakan untuk memeriahkan lagi sambutan HPTN ini.

Sebanyak empat puluh satu (41) buah reruai pameran sedia untuk dilawati oleh orang ramai yang ingin menimba ilmu berkaitan bidang teknikal dan industri kejuruteraan. Lima (5) buah pempamer platinum yang turut serta dalam pameran ini ialah ACSON, CIDB, MAXIS, PETRONAS dan MMC-GAMUDA.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4
5
6
7
8
9
10
11
12