PERDANA MENTERI LANCAR PROJEK SARAWAK-SABAH LINK ROAD (SSLR) FASA 2
LIMBANG – Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim hari ini melancarkan Projek Sarawak-Sabah Link Road Fasa 2 (SSLR2) menerusi majlis pecah tanah di Nanga Medamit, Limbang, Sarawak. Projek berimpak tinggi Kerajaan MADANI melalui Kementerian Kerja Raya (KKR) itu bakal mengubah landskap pembangunan di Utara Sarawak dan bahagian tengah Borneo selain merapatkan jurang antara bandar, luar bandar dan pedalaman.
SSLR2 merupakan kesinambungan kepada Fasa 1 yang bermula dari Lawas ke Long Lopeng sejak 2021, dengan kemajuan kini mencecah 57.6 peratus. Dengan kos dianggarkan RM7.6 bilion, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dilantik sebagai agensi pelaksana manakala Syarikat Maltimur Aktif Unggul (MAUJV) Sdn. Bhd. bertanggungjawab sebagai kontraktor utama. Projek dijangka siap sepenuhnya menjelang 2029.
Pembinaan jalan raya sepanjang 335 kilometer itu turut melibatkan jambatan, jejambat, lampu jalan serta sistem perparitan lengkap, di samping pematuhan kepada Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dan langkah perlindungan alam sekitar (EPW). Laluan ini akan menghubungkan Long Luping ke Ba’Kelalan, Nanga Medamit dan Mulu melalui empat pakej utama, sekali gus memperkukuh rangkaian jalan darat di kawasan pedalaman.
Apabila siap kelak, projek ini dijangka menjadi pemangkin kepada integrasi nasional dengan menyediakan akses jalan raya yang lebih selamat, moden dan lestari, seterusnya memastikan komuniti pedalaman tidak lagi terpinggir daripada arus pembangunan. SSLR1 dan SSLR2 juga melengkapi rangkaian lebuh raya sedia ada termasuk Lebuhraya Pan Borneo Sarawak, Lebuhraya Trans Borneo serta Pan Borneo Sabah.
KKR menegaskan kejayaan projek ini bergantung kepada komitmen semua pihak termasuk Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, pihak kontraktor dan masyarakat setempat. Dengan semangat kerjasama erat serta pemantauan rapi, SSLR2 diyakini menjadi mercu tanda baharu pembangunan infrastruktur negara ke arah Malaysia MADANI yang lebih inklusif dan Sarawak Maju Makmur demi kesejahteraan generasi masa hadapan.
- Log in to post comments