Pembukaan BEE Memberi Manfaat kepada Pengguna | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
1

Pembukaan BEE Memberi Manfaat kepada Pengguna

Kuala Lumpur, 15 April – Pembukaan Lebuhraya Sungai Besi atau Besraya Eastern Extension (BEE) dijangka dapat menyuraikan dan mengurangkan kesesakan trafik kepada lebih 250,000 pengguna sehari terutama pada waktu puncak.

BEE yang dibina sepanjang 12.3km itu adalah rangkaian jalan penyambung di antara MRR1 dan MRR2 sekaligus dapat mengurangkan masa perjalanan dari 45 minit kepada 10 minit.  Ia menghubungkan jalan-jalan utama seperti Jalan Loke Yew, Jalan Cheras, Jalan Shamelin, Jalan Pandan Indah dan Jalan Pandan Utama melalui Persimpangan bertingkat Ikan Emas.

Lebuhraya ini juga dilengkapi dengan teknologi canggih seperti informasi trafik, papan tanda mesej ubah elektronik (Variable Messaging System-VMS), sistem maklumat lebuhraya (Highway Information System-HIS), pusat kawalan lengkap dengan kamera litar tertutup (CCTV), sistem tol elektronik dan rondaan 24 jam sehari oleh unit pasukan ronda.

Bangunan ibu pejabat Besraya ini turut dibina bercirikan pendekatan ‘Green Technology’ atau teknologi hijau yang mana ia dapat mengurangkan penggunaan lampu di dalam bangunan pada siang hari sekaligus dapat menyumbang kepada pengurangan pemanasan global yang kian serius kebelakangan ini.

Lebuhraya ini telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya YB Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.  Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengerusi Besraya (M) Sdn. Bhd.  YM Tengku Tan Sri Datuk Seri Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail.

Dengan pembukaan BEE ini maka jumlah jarak keseluruhan lebuhraya di negara ini menjadi 1,864km dan ianya merupakan satu lagi kejayaan pelaksanaan kerjasama awam-swasta (Public-Private Partenship-PPP).

Image removed.

Image removed.

Image removed.

Image removed.

Image removed.

Image removed.

Tarikh Dan Waktu Acara