Pembinaan Institut Latihan JKR di Melaka
ALOR GAJAH, 14 Mac – Majlis Pecah Tanah Pusat Kecemerlangan Teknologi Nasional Malaysia (PKTNM)-Institut Latihan Jabatan Kerja Raya Malaysia telah disempurnakan oleh YB Datuk Haji Fadillah Haji Yusof, Menteri Kerja Raya bersama Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Ir. Haji Idris Haji Haron, hari ini.
Pusat latihan ini merupakan projek pembinaan yang dilaksanakan secara perkongsian awam swasta (PPP) melalui kaedah bina-pajak-selenggara-pindah oleh Syarikat Indera Persada Sdn. Bhd. Ia dijangka menjadi pusat latihan yang terkemuka dengan kepakaran yang diiktiraf dunia dalam menyediakan pengawai dan kakitangan teknikal kompeten.
Projek pembinaan pusat latihan ini merangkumi pembinaan bangunan pentadbiran, perpustakaan, pusat pengajian, makmal penyelidik inovasi, makmal latihan dan simulasi, infrastruktur ICT dan komunikasi, dewan serbaguna, pusat pengurusan fasiliti yang mempunyai kemudahan penginapan, kemudahan am serta kemudahan sukan dan rekreasi. Ianya dibina diatas tanah berkeluasan 110 ekar dan dijangka mampu melatih seramai 30 ribu orang pegawai dan kakitangan teknikal JKR dari seluruh negara.
Turut hadir sama ialah YBhg. Datuk Himmat Singh, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, YBhg. Dato' Ir Hj. Mohd Noor Bin Yaacob, Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya dan Tan Sri Mohd Zaman Khan, Pengerusi Syarikat Indera Persada Sdn Bhd.
![]()
![]()
![]()
![]()
![]()
![]()
- Log in to post comments