Keputusan bijak kaji balik RMK-9 | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

KUALA TERENGGANU 23 April - Keputusan kerajaan untuk mengkaji semula pelaksanaan projek di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) khususnya yang bertaraf mega adalah langkah proaktif bagi mengelakkan negara menanggung beban kewangan yang lebih parah.

Presiden Kesatuan Kontraktor Melayu Malaysia, Senator Datuk Roslan Awang Chik berkata, langkah tersebut amat bijak kerana sekiranya diteruskan kesannya bukan sahaja dihadapi negara malah turut menjejaskan kehidupan rakyat.

''Bagaimanapun saya berharap keputusan itu tidak membabitkan projek pelajaran, kesihatan atau kemudahan asas," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang berkata, projek RMK-9 yang bernilai berbilion ringgit akan dikaji semula pelaksanaannya berikutan masalah kenaikan kos.

Di bawah RMK-9, sebanyak 880 projek pembangunan baru bernilai RM15 bilion dirancang pembinaannya.

Antara projek tersebut termasuk pembinaan Kompleks Perbadanan Produktiviti Negara (NPC) Wilayah Timur, fasa kedua Lebuh Raya Pantai Timur dan projek Jambatan Semporna-Pulau Bum Bum di Sabah.

Mengulas lanjut, Roslan berharap kerajaan membekukan buat sementara waktu pelaksanaan projek mewah.

Mengenai peluang kontraktor khususnya bumiputera mungkin terjejas berikutan keputusan drastik kerajaan itu, Roslan berharap ia tidak mendatangkan impak yang besar kerana kerajaan tentunya mempunyai kaedah terbaik dalam menangani isu terbabit.

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia