Formula turunkan kadar tol | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

MERUJUK kenyataan Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed bahawa kerajaan akan mengkaji balik kadar tol serta kemungkinan menghalang kenaikan yang tidak berasas atau mungkin menurunkan kadar tol adalah berita baik yang ditunggu-tunggu oleh para pengguna lebuh raya.

Sebagai pengguna lebuh raya, saya ingin mengemukakan beberapa cadangan kepa- da menteri berkenaan supaya dapat dipertimbangkan dalam kajian kementeriannya nanti. 

Pada masa ini, ramai penduduk di Lembah Klang yang bekerja di kawasan Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Shah Alam, Putrajaya dan kawasan sekitarnya membayar tol yang tinggi ketika berulang alik ke tempat kerja.

Sebagai contoh orang yang bekerja di Kuala Lumpur dan menetap di Bangi, Rawang, Nilai, Klang dan lain-lain lagi terpaksa membayar tol dari RM6 hingga RM10 sehari dan jumlah itu belum dicampurkan dengan kos petrol. 

Hakikat yang perlu diakui sekarang adalah ramai yang bekerja di ibu kota tetapi mereka menetap di kawasan perumahan dalam lingkungan 50 kilometer dan bagi mereka, bayaran tol adalah satu beban yang besar apatah lagi harga petrol juga terus meningkat. 

Mengambil kira keadaan ini, kerajaan perlu mempertimbangkan mekanisme penetapan kadar tol di kawasan Lembah Klang yang lebih praktikal dan mesra pengguna. Bersama ini disertakan cadangan dan kadar penetapan tol yang boleh dipertimbangkan kerajaan:

 Kadar tol di Sungai Besi dan Jalan Duta ditetapkan pada kadar RM1 sehala di bawah sistem tol terbuka.

 Kadar tol lebuh raya Utara Selatan bermula dan berakhir di Nilai bagi laluan Selatan dan di Rawang bagi laluan utara.

 Kadar tol di semua plaza tol di Lembah Klang ditetapkan pada kadar RM1 atau kurang.

 Kadar tol di tempat-tempat lain perlu dikaji semula mengikut keadaan geografi dan demografik kawasan tersebut.

Saya percaya cadangan ini mungkin tidak popular di kalangan pemilik lebuh raya tetapi kesan penurunan tol mungkin akan memberikan kesan gandaan kepada pemilik sekiranya lebih ramai lagi menggunakan lebuh raya. 

Pada masa ini, bilangan kenderaan telah bertambah begitu banyak, mungkin lebih tinggi dari jangkaan awal pemilik lebuh raya semasa mereka mula membina lebuh raya.

Oleh itu adalah wajar mereka memberikan kadar yang lebih realistik dengan keadaan semasa dan jangan semata-mata menggunakan perjanjian sebagai alasan menaikkan tol.

 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia