Syarikat konsesi, pemaju perlu bincang | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

KUALA LUMPUR: Syarikat pemegang konsesi Lebuh Raya Cheras-Kajang, Grand Saga Sdn Bhd dan pemaju perumahan Bandar Mahkota Cheras, Narajaya Sdn Bhd perlu berbincang bagi mencari jalan penyelesaian terbaik mengatasi masalah dihadapi lebih 20,000 penduduk di kawasan itu. 

Saranan itu dibuat Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim selepas melawat hadangan dibuat Grand Saga di kawasan berkenaan, menghalang laluan pintas yang digunakan penduduk untuk mengelak membayar tol. 

Beliau berkata, pejabatnya sudah menghantar surat kepada Menteri Kerja Raya, Datuk Ir Mohd Zin Mohamed supaya campur tangan bagi menyelesaikan masalah berkenaan. 

"Kita minta semua pihak bersabar dan cuba menyelesaikan isu ini dengan baik. Saya tidak mahu berlaku kekacauan dan pergaduhan. 

"Jika boleh, pihak Grand Saga dan Narajaya dapat duduk semeja untuk berbincang lebih lanjut," katanya. 

Khalid berkata, semakan juga akan dijalankan kerajaan negeri kerana mereka memiliki kepentingan dalam Grand Saga melalui anak syarikat milik penuh kerajaan negeri iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). 

Kerajaan sebelum ini tidak mahu campur tangan dalam masalah itu selepas Narajaya memfailkan saman pemula terhadap Grand Saga di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 4 Oktober tahun lalu. 

"Majlis Daerah Kajang (MPKj) juga sudah diminta membersihkan kesan runtuhan hadangan itu untuk memberikan keselesaan kepada pengguna jalan raya berkenaan. 

"Saya minta MPKj dapat membersihkan kawasan ini dalam masa dua minggu. Saya akan datang meninjau kawasan ini seminggu lagi bagi memastikan mereka menjalankan tugas yang diarahkan," katanya. 

Sementara itu, hampir 1,000 penduduk yang berkumpul di kawasan berkenaan bersurai selepas berpuas hati dengan penerangan yang diberikan Khalid. 

Dalam pada itu, hampir 30 penduduk dari Bandar Mahkota Cheras berkumpul di hadapan bangunan Parlimen, semalam, untuk menyatakan rasa kurang puas hati terhadap tindakan sekumpulan lelaki yang menyerang mereka dua hari lalu. 

Dalam insiden itu, 10 penduduk cedera apabila diserang sekumpulan 15 hingga 20 lelaki bersenjatakan kayu, batang besi dan topi keledar. Turut cedera dua petugas media. 

Penduduk meminta Kementerian Kerja Raya campur tangan menyelesaikan masalah mereka. 

Perhimpunan itu bagaimanapun disuraikan polis. 

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian