Jalan Bandar Mahkota Cheras dibuka | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

BANDAR MAHKOTA CHERAS - Kontrovesi temok penghadang yang dibina oleh syarikat konsesi Grand Saga Sdn Bhd (Grand Saga) di Jalan Bandar Mahkota Cheras selesai apabila kerajaan Persekutuan bersetuju untuk membuka semula laluan berkenaan kepada orang ramai mulai jam 3.30 petang semalam.

Menteri Kerja raya, Datuk Ir Mohd Zin Mohamed pada sidang media semalam berkata laluan itu akan terus dibuka sehingga mahkamah membuat keputusan mengenai kontrovesi itu kelak.

"Jemaah menteri telah bersetuju untuk membuka penghadang jalan ini dan diharap dengan pembukaan jalan ini, penderitaan penduduk di sini dapat diselesaikan, Bagaimanapun, dalam masa yang sama perkara ini masih melibatkan perundangan," katanya.

Menurutnya, selepas mahkamah membuat keputusan pihak kementeian akan melihat semula dan membuat semakan sekiranya keputusan yang dibuat itu boleh menjejaskan penduduk.

"Saya melihat perkara ini demi kebaikan semua pihak. Buat sementara ini saya telah bersetuju bahawa laluan ini dibuka. Dengan keputusan yang dibuat oleh kerajaan ini, saya berharap tidak ada lagi pihak-pihak yang cuba  mencetuskan lagi kekecohan dan melanggar undang-undang," katanya.

Sebelum ini syarikat konsesi Grand Saga Sdn Bhd menutup jalan tersebut dengan membina penghadang konkrit yang telah mengakibatkan timbulnya beberapa kekecohan akibat rasa kurang puas hati penduduk setempat.

Pada 12 Mei lalu Mahkamah Tinggi Menolak Permohonan penduduk Bandar Mahkota Cheras bagi mendapatka perintah injunksi menghalang Grand Saga membina semula tembok penghadang di persimpangan jalan Bandar Mahkota Cheras.

Difahamkan kes tersebut akan disebut semula pada 25 Jun Depan.

Grand Saga dan penduduk Bandar Mahkota Cheras terlibat dengan pertelagahan apabila Jawatankuasa Buka Jalan Bandar Mahkota Cheras memecahkan tembok konkrit yang dibina oleh Grand Saga di persimpangan jalan Bandar Mahkota Cheras.

Tembok itu dibina bagi menghalang kemasukan terus trafik dari Bandar Mahkota Cheras Ke Persimpangan Bandar Tun Hussein Onn, Lebuh Raya Cheras-Kajang, Yang mahu mengelak daripada membayar tol di Plaza Tol Batu 11, Cheras.

Selepas tembok asal di pecahkan pada 21 April lalu, Grand Saga telah membinanya semula sebanyak dua kali, namun kedua-duanya dipecahkan semula oleh penduduk setempat.

Ketegangan terus berlaku sehingga tercetus insiden terbaru Selasa lepas ababila penduduk bergaduh dengan sekumpulan lelaki yang cuba menghalang tembok itu dirobohkan untuk kali ketiga sehingga menyebabkan beberapa orang cedera termasuk seorang cedera termasuk seorang jurugambar sebuah akhbar.

Mohd Zin berharaf kontrovesi itu akan dapat diselesaikan melalui proses perundingan dan meminta penduduk supaya bersabar dan mematuhi undang-undang.

Menurut Mohd Zin, kerajaan tidak berdiam diri dalam isu berkenaan sebaliknya telah mengadakan beberapa siri pebincangan dengan Grand Saga dan pemaju, Narajaya Sdn Bhd untuk mencari jalan penyelesaian.

"Rakyat sepatutnya bersabar dan tidak bertindak di luar batas undang-undang kerana kerajaan tidak pernah mengabaikan setiap rungutan dan keluhan rakyat," katanya.

Mohd Zin berkata Grand Saga juga telah bersetuju untuk tidak membina semula tembok penghadang itu sehingga kes mahkamah selesai.

Beliau berkata sehingga keputusan mahkamah dibuat, Grand Saga boleh menuntut ganti rugi daripada kerajaan mengikut perjanjian konsesi sehingga boleh menjangkau RM9,000 sehari (RM270,000 sebulan atau lebih RM3.5 juta setahun).

"Pihak kerajaan sentiasa amat perihatin tentang kepentingan rakyat dan sama-sama selesaikan masalah ini dengan sebaik mungkin dan saya harap sementara waktu perkara ini diselesaikan dan dimuktamadkan," katanya.

 

Tarikh
Surat Khabar
Sinar Harian