KAJANG: Kunjungan Menteri Kerja Raya, Datuk Mohd Zin Mohamed, semalam untuk meninjau kerja pemasangan enam lampu isyarat oleh syarikat konsesi lebuh raya, Grand Saga Sdn Bhd (Grand Saga) di persimpangan jalan Bandar Mahkota Cheras di sini, menerima sambutan dan sorakan terima kasih kira-kira 100 penduduk setempat.
Penduduk yang kelihatan gembira tidak putus-putus mengucapkan terima kasih dan menunjukkan isyarat bagus kepadanya berikutan pendekatan mesra rakyat beliau yang sebelum ini mengarahkan jalan itu dibuka serta-merta selepas ditutup syarikat terbabit.
Cuaca mendung diselangi hujan renyai tidak menghalang penduduk yang sabar menanti ketibaan beliau, malah ada yang pulang kerja awal semata-mata ingin "bertentang mata" untuk meluahkan rasa gembira secara berdepan.
Penduduk, Leow Teong Lai, 40, berkata pembukaan semula laluan selain langkah memasang lampu isyarat adalah satu keputusan tepat yang dinantikan penduduk.
"Rata-rata di kalangan penduduk sangat terharu dengan arahan membuka laluan ini. Oleh itu, apabila tahu saja beliau hendak melawat kerja pemasangan lampu isyarat, kami (penduduk) terus ke sini. Saya sendiri pulang kerja awal untuk bertemu beliau," katanya.
Grand Saga dan penduduk Bandar Mahkota Cheras sebelum ini bertelagah apabila penduduk bertindak memecahkan tembok konkrit yang dipasang syarikat itu di persimpangan jalan terbabit.
Tembok berkenaan dibina untuk menghalang kemasukan terus pengguna jalan dari Bandar Mahkota Cheras ke persimpangan Bandar Tun Hussein Onn, Lebuhraya Cheras-Kajang, yang mahu mengelak daripada membayar tol di Plaza Tol Batu 11, Cheras.
Sementara itu, Mohd Zin berkata, pemasangan lampu isyarat baru yang memakan belanja RM200,000 itu dilakukan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan terbabit.
"Kerja pemasangan dimulakan dua hari lalu dan dijangka siap sepenuhnya Jumaat ini dengan dipantau Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
"Empat lampu isyarat sebelum ini tidak berkesan untuk mengurangkan kesesakan jalan raya," katanya