KUALA LUMPUR 16 Jun - Persatuan Kontraktor Kelas F Kuala Lumpur memohon agar had nilai kontrak yang ditawarkan dinaikkan dalam usaha membantu golongan tersebut menangani masalah kenaikan harga barang.
Yang Dipertua persatuan itu, Ahmad Awang berkata, keuntungan yang diperoleh oleh kontraktor kelas F semakin hari semakin berkurangan ekoran kenaikan harga barang termasuk bahan binaan tanpa kawalan.
''Kontraktor kelas F hanya boleh mengundi kerja atau menghantar sebut harga tidak lebih RM200,000. Saya harap pihak yang berkenaan dapat naikkan had tersebut kepada RM300,000,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambahnya, had nilai kontrak tersebut tidak pernah berubah sejak 10 tahun yang lalu.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai keluhan Pengerusi Persatuan Kontraktor Binaan Bumiputera Kelas F Pulau Pinang, Abdul Wahab Hamid yang terpaksa berdepan dengan tender terbuka.
Abdul Wahab dalam kenyataannya semalam memberitahu, kontraktor kelas F di negeri terbabit hanya mendapat kerja yang bernilai RM5,000 hingga RM20,000, berbanding RM20,000 hingga RM200,000.
Penggunaan sistem terbuka yang telah dijalankan selama tiga bulan lalu di Pulau Pinang turut menyebabkan kontraktor kelas F negeri itu tidak berpeluang dan sukar mendapat kerja kerana terpaksa bersaing dengan syarikat lain.
Menurut Abdul Wahab, mana-mana syarikat boleh masuk tender walaupun tidak berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Pusat Khidmat Kontraktor (PKK).
Ahmad seterusnya merayu kepada semua kerajaan negeri sekiranya ingin membuat sistem tender terbuka, mereka perlu mengehadkannya kepada kontraktor kelas F yang berdaftar dengan PKK dan CIDB.
''Saya juga memohon supaya janganlah buat syarat kontraktor yang sudah mendapat kontrak bernilai RM5,000 hingga RM20,000 tidak lagi dibenarkan membuat sebarang undian kerja atau menghantar sebut harga.
''Sekurang-kurangnya, berilah mereka peluang untuk menjalankan kerja-kerja bagi sektor swasta atau persendirian,'' ujarnya.
Selain itu, Ahmad juga meminta agar kerajaan mempertimbangkan bagi membenarkan kontraktor kelas F membuat tuntutan lebihan bagi bahan-bahan binaan.
Jelasnya, mungkin pada masa kontrak diberikan, harga besi dan simen masih murah, tetapi apabila kerja-kerja mula dilakukan, harga barangan tersebut meningkat menyebabkan kontraktor terpaksa menampung kos yang tinggi.