'Naikkan kadar tol lori' | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

KLANG 12 Jun - Tiga tahun lalu, negara dikejutkan dengan tragedi seorang murid Sekolah Rendah Agama (SRA) Rantau Panjang di sini, Nur Salina Saparedi, 7, maut digilis treler yang dipandu laju ketika melintas Lebuh Raya Shapadu untuk ke sekolah.

Lebih memilukan, kejadian berkenaan berlaku di depan mata ibunya sendiri.

Namun, itu bukan kemalangan maut pertama di lebuh raya satu lorong yang sesak dengan kenderaan khususnya lori kargo dan treler yang berulang-alik antara Pelabuhan Utara di Pelabuhan Klang dan Kuala Lumpur atau tempat-tempat lain.

Sejak dibina kira-kira 20 tahun lalu, lebuh raya maut itu telah meragut berpuluh-puluh nyawa penduduk Kampung Rantau Panjang.

Tinjauan Utusan Malaysia selama setengah jam di depan SRA Rantau Panjang hari ini mendapati keadaan di situ tidak jauh berubah.

Cuma yang berbeza sekarang terdapat sebuah jejantas pejalan kaki bagi memudahkan pelajar sekolah dan penduduk kampung melintas lebuh raya dengan selamat.

Kelihatan juga pelbagai jenis kenderaan daripada sekecil-kecilnya basikal sehingga sebesar-besarnya lori kargo bertali arus melalui lebuh raya tersebut.

Sepanjang lebuh raya pula selain rumah penduduk, terdapat banyak kilang kecil dan bengkel kenderaan di kiri-kanan menjadikan keadaannya bertambah sibuk.

Beberapa penduduk yang ditemui berkata, keadaan tersebut sudah lali kepada mereka.

Walaupun terdapat lebuh raya baru dua lorong dibina berdekatan, iaitu Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara Baru, ia tidak menjadi pilihan pengguna jalan raya berikutan kadar tol yang tinggi.

Bagi kenderaan berat, mereka perlu membayar tol sebanyak RM6.80 apabila menggunakan Lebuh Raya Pintas Selat Klang Utara dari Klang ke Pelabuhan Utara sedangkan di Lebuh Raya Shapadu hanya RM1.60 bagi destinasi yang sama.

DesakanMenurut penduduk kampung, sudah banyak aduan dan desakan dilakukan terhadap pihak-pihak berkaitan supaya laluan milik konsesi lebuh raya Shapadu Corporation Berhad (Shapadu) itu diwartakan bagi membolehkan ia digunakan oleh kenderaan ringan sahaja.

Namun, sehingga hari ini, tiada sebarang tindakan diambil oleh mana-mana pihak.

Justeru, mereka mencadangkan agar kadar tol untuk kenderaan berat dinaikkan bagi mengurangkan jumlahnya di lebuh raya berkenaan manakala kadar bagi kenderaan ringan sama ada dikekalkan atau dihapuskan terus.

Seorang penduduk Kampung Rantau Panjang, Zakaria Mamat, 43, memberitahu, langkah menaikkan kadar tol bagi kenderaan berat dilihat sebagai salah satu cara untuk mengatasi kesesakan lalu lintas sekali gus mengurangkan risiko kemalangan di lebuh raya berkenaan.

Jelasnya, sejak tinggal di kampung tersebut lima tahun lalu, beliau mendapati pemandu kenderaan berat menggunakan Lebuh Raya Shapadu sehingga awal pagi.

"Laluan di sini sentiasa sibuk dengan kenderaan termasuklah lori dan treler sehingga pukul 3 pagi.

"Walaupun dipanggil lebuh raya, saiz lorongnya kecil sama seperti jalan kampung dan sudah tiba masa laluan ini dilarang kepada kenderaan berat," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Ditanya cadangan untuk menghapuskan tol bagi kenderaan ringan, beliau mengalu-alukannya kerana berpendapat ia dapat meringankan beban golongan berpendapatan rendah berikutan kenaikan harga petrol dan diesel.

Peniaga, I. Shanmugam, 32, pula mencadangkan supaya kadar tol bagi kenderaan berat di Lebuh Raya Shapadu diselaraskan sama seperti Lebuh Raya Pintas Selat Klang Baru.

Dengan cara itu, ujar beliau, pemandu kenderaan jenis itu akan berfikir dua kali untuk menggunakan Lebuh Raya Shapadu bagi mengelak kos tambahan.

"Tol untuk kereta biar kekal 50 sen, tapi untuk lori kita naikkan sama seperti lebuh raya baru," jelasnya.

Seorang lagi peniaga, Hussein Basha, 35, menjelaskan, kadar tol sebanyak 50 sen bagi kenderaan ringan masih rendah dan tidak membebankan pengguna.

Justeru, katanya, tidak wajar ia dihapuskan kerana hasilnya boleh diguna untuk menyenggara lebuh raya.

Turut sependapat dengan Hussein ialah Azizah Salleh, 38.Menurut Azizah, Shapadu telah melakukan kerja-kerja penyenggaraan dengan baik.

Katanya, mana-mana permukaan jalan yang rosak akibat kerap dilalui kenderaan berat kini sudah diturap.

"Keadaan lebuh raya hari ini berbanding masa mula-mula dibina memang berbeza.

"Dulu keadaan jalan teruk, banyak lubang disebabkan lori-lori yang membawa muatan berat.

"Sekarang, sebarang kerosakan Shapadu akan dibaiki secepat mungkin," katanya yang telah 15 tahun tinggal di Kampung Rantau Panjang.

Selain itu, tambah beliau, Shapadu juga telah membuat perubahan dengan membina jejantas pejalan kaki dan lebuh raya baru untuk keselesaan penduduk kampung serta pengguna jalan raya.

 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia