IPOH: Plaza Tol Jelapang di Kilometer (KM) 266.3 Lebuh Raya Utara-Selatan yang diberi jolokan 'plaza maut', secara rasmi dialihkan kira-kira 800 meter ke selatan dari lokasi asalnya, petang semalam.
Pembukaan Plaza Tol Jelapang yang baru itu membolehkan pengguna meneruskan perjalanan ke selatan tanpa berhenti di plaza lama, yang sebelum ini pernah merekodkan 142 kemalangan sejak 2003 termasuk nahas terbaru Disember lalu yang mengorbankan lapan orang.
Acara ringkas pembukaan Plaza Tol Jelapang baru itu, disempurnakan Menteri Kerjaraya Datuk Mohd Zin Mohamed, kira-kira jam 4 petang.
Plaza Tol Jelapang bagi laluan arah ke utara bagaimanapun masih berfungsi sehingga plaza tol baru Ipoh Utara (Arah Utara) dibuka, Oktober ini.
Mohd Zin berkata, plaza tol itu dialihkan kira-kira 800 meter ke selatan selepas beberapa kemalangan maut berlaku sejak beberapa tahun lalu.
"Kedudukan Plaza Tol Jelapang ini tidak strategik. Salah satu usaha kerajaan ialah mengarahkan Plus mengalihkan plaza tol untuk memberi kemudahan kepada pengguna dari utara ke selatan tanpa berhenti.
"Pada peringkat permulaan, pengguna dari arah Pulau Pinang ke selatan mulai petang ini (semalam), tidak perlu membayar tol dan boleh terus ke selatan.
"Semua kemudahan tiga lorong dari utara ke selatan akan disiapkan dalam tempoh enam bulan dan mulai 1 Januari depan, pengguna lebuh raya di kawasan Jelapang tak perlu berhenti di plaza lama," katanya.
Mengikut statistik Plus Expressway Berhad (Plus), jajaran ke selatan antara Terowong Menora di KM 260.0 hingga ke plaza berkenaan sudah merekodkan 142 kemalangan yang meragut 12 nyawa manakala 74 lagi parah sejak 2003.
Sebanyak 87 daripada 142 kemalangan itu dikatakan berlaku kerana kegagalan brek kenderaan berfungsi ketika menuruni kawasan berkenaan.
Mohd Zin berkata, keseluruhan kerja menaik taraf lebuh raya dari Ipoh selatan ke Jelapang memerlukan perbelanjaan RM260 juta dan dijangka siap sepenuhnya hujung tahun ini.
Pembinaan jajaran baru dan plaza tol menggantikan Plaza Tol Jelapang bermula sejak Mei 2005 membabitkan pembinaan dua jalan baru bebas tol sepanjang 14.7 kilometer setiap hala.
Kerja menaik taraf itu turut merangkumi pembinaan perangkap pasir bagi menampan kenderaan yang menghadapi mengalami masalah brek.
Laluan perangkap pasir sepanjang 72 meter itu juga dilengkapi kabel besi dan penghadang konkrit bagi mengelakkan kenderaan merempuh plaza tol.